Polis KL tempatkan anggota di lebih 50 ‘hotspot’

Polis KL tempatkan anggota di lebih 50 ‘hotspot’

Antara kawasan dikenal pasti ialah Jalan Kuching, Jalan Loke Yew dan Jalan Cheras.

Selasa lalu polis melaksanakan Ops Lancar bagi memastikan kelancaran pergerakan pengguna jalan raya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
KUALA LUMPUR:
Polis sudah mengenal pasti lebih 50 “hotspot” dan 11 “blackspot” (kawasan sering berlaku kemalangan) di seluruh ibu negara bagi menempatkan anggota trafik untuk mengawal kesesakan lalu lintas sempena Ops Lancar dan Ops Selamat menjelang Aidilfitri.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan dan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Sarifudin Mohd Salleh, berkata antara kawasan hotspot yang dikenal pasti ialah Jalan Kuching, Jalan Loke Yew dan Jalan Cheras.

Beliau berkata, fokus polis adalah untuk memastikan kelancaran pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Selain itu, pihak JSPT turut menempatkan anggota polis di bazar Ramadan terpilih di sekitar Kuala Lumpur sepanjang bulan puasa ini.

“Begitu juga anggota tugas am yang ditempatkan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada pengguna jalan raya di Plaza Tol Jalan Duta menuju utara.

Beliau berkata, JSPT Kuala Lumpur turut menempatkan anggota di pusat beli- belah bagi mengawal lalu-lintas seperti di Jalan Tunku Abdul Rahman, Bukit Bintang dan Pusat Beli-Belah Kenanga.

Setakat ini, Sarifudin berkata kesesakan lalu-lintas menjelang Aidilfitri berjalan lancar dan terkawal.

Pada Selasa, polis melaksanakan Ops Lancar bagi memastikan kelancaran pergerakan pengguna jalan raya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Selain itu, polis melancarkan Ops Selamat bermula hari ini hingga 27 April yang bertemakan “Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi” bagi memastikan keselesaan rakyat menyambut Aidilfitri kali ini.

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani, dilapor berkata fokus Ops Lancar adalah untuk memastikan kelancaran pergerakan pengguna jalan raya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri manakala Ops Selamat adalah berfokus kepada meminimumkan kes kemalangan jalan raya, keterjaminan keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah semasa musim perayaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.