Bicara kes saman perhimpunan Covid-19 mula Mac 2025

Bicara kes saman perhimpunan Covid-19 mula Mac 2025

Mahkamah juga memutuskan perbicaraan kes tu akan berlangsung lima hari bermula 24 Mac.

Pada 30 Dis 2021, 16 peserta mengenang korban Covid-19 memfailkan saman terhadap polis, kerajaan kerana mencabuli hak mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka, Ogos 2021.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan perbicaraan kes saman berkaitan perhimpunan mengenang korban Covid-19, dua tahun lalu dibicarakan selama lima hari bermula 24 Mac 2025.

Peguam, Nur Izni Syazwani Ahmad yang mewakili 16 plaintif dalam tuntutan tersebut memaklumkan perkara itu ketika dihubungi selepas tamat pengurusan kes itu.

Utusan Malaysia melaporkan, kes itu akan dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Hayatul Akmal Abdul Aziz.

Pada 30 Disember 2021, 16 peserta “Malam Belasungkawa Jiwa-Jiwa Yang Telah Pergi” memfailkan saman dengan menamakan lapan anggota polis terlibat dalam penangkapan peserta perhimpunan, ketua polis negara, polis, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ke-12.

Menurut afidavit difailkan, kesemua plaintif mendakwa hak mereka sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dicabuli pihak berkuasa pada perhimpunan diadakan pada 19 Ogos 2021.

Selain mendakwa mereka telah ditahan secara salah, semua 16 plaintif mendakwa berlaku serangan tidak wajar, pelanggaran tanggungjawab berkanun dan salah laku penjawat awam pada malam perhimpunan tersebut.

Sehubungan itu, kesemua plaintif memohon pengisytiharan tindakan polis itu melanggar hak perlembagaan mereka seperti termaktub di bawah Perkara 5, 8, 9 dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga menuntut ganti rugi am tidak dinyatakan jumlahnya dan pampasan RM1,000 untuk telefon bimbit rosak.

Seramai 31 peserta perhimpunan dikenakan kompaun berjumlah RM62,000 kerana melanggar SOP ekoran penularan Covid-19. Mereka mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka pada 19 Ogos 2021.

Ketua Polis Dang Wangi ketika itu, Noor Dellhan Yahaya berkata kesemua mereka dikompaun RM2,000 seorang kerana didapati melanggar SOP, Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kumpulan berkenaan mula berkumpul pada pukul 8 malam dan aktiviti berkenaan disedari pasukan pemantau polis.

Mereka kemudian membakar lilin serta memegang kain rentang putih bertulis ‘Belasungkawa Jiwa-Jiwa Yang Telah Pergi’. Polis bertindak dengan membawa mereka ke IPD Dang Wangi untuk dirakam percakapan

Tindakan menahan peserta perhimpunan itu dilakukan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.