Bomba ‘beraya’ padam kebakaran tanah gambut di Bachok

Bomba ‘beraya’ padam kebakaran tanah gambut di Bachok

Bomba Kelantan berkata operasi pemadaman di tanah gambut itu sudah berlangsung empat hari lalu.

Pengarah Bomba Kelantan Zainal Madasin, berkata berkemungkinan operasi pemadaman berbaki lima hektar di kawasan terjejas itu berjalan sehingga Aidilfitri. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Anggota bomba terlibat memadam kebakaran tanah gambut di mukim Beris Lalang, Bachok, Kota Bharu, mungkin terpaksa ‘beraya’ dalam operasi itu.

Ketika ini, kebakaran di kawasan itu masih berbaki lima hektar untuk dipadamkan, berbanding kebakaran meliputi 12 hektar sebelum ini.

Pengarah Bomba Kelantan Zainal Madasin, berkata pemadaman kebakaran di kawasan tanah gambut mengambil masa lama, selain operasi selama empat hari itu berlangsung tanpa henti melibatkan 50 anggota dari enam balai bomba.

Katanya, anggota berkenaan dari Balai Bomba Bachok, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Pasir Tumboh, Pasir Puteh, dan Tok Bali.

“Setakat ini, operasi pemadaman masih dijalankan di baki lima lagi hektar tanah gambut yang terbakar. Untuk padam sepenuhnya, agak mengambil masa, malah mungkin sehingga Aidilfitri ini, anggota bomba yang terbabit akan terus dengan tugasan itu.

“Tindakan operasi pemadaman membabitkan empat sektor dengan menggunakan sumber air punca air bawah tanah (telaga tiub) memandangkan kawasan yang terjejas tidak mempunyai sumber air terbuka yang terdekat.

“Selain pemadaman di permukaan, kita serapkan juga air di bawah tanah supaya teksturnya menjadi lembap, sekali gus mengelakkan asap dan tanah terbakar semula,” katanya menurut Berita Harian.

Zainal berkata, permohonan pinjaman aset pemadaman khas api hutan daripada Pusat Penyelidikan Kebombaan (Puspek) iaitu GS Mark III sudah dilakukan bagi membantu operasi pemadaman dengan lebih efektif dan berkesan.

“Nasihat saya kepada orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka pada musim kemarau seperti ini walaupun dengan tujuan membersihkan kebun kerana boleh mendatangkan musibah dan menyusahkan ramai pihak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.