
Exco Kesihatan Terengganu, Dr Alias Razak, berkata status makanan itu diperoleh hasil analisis mikrobiologi dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).
Katanya, sehingga 14 April lalu, sebanyak 69 sampel makanan telah diambil di mana 61 daripadanya merupakan sampel analisis mikrobiologi manakala lapan sampel analisis kimia.
“Daripada 61 sampel analisis mikrobiologi, lapan sampel makanan (13.11%) didapati tercemar dan mengandungi bakteria,” katanya menurut Sinar Harian.
Jelasnya lagi, 3,431 pemeriksaan dijalankan di 57 bazar Ramadan dengan 222 notis kompaun telah dikeluarkan JKNT melibatkan nilai RM24,800.
Katanya, kompaun tersebut dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Makanan 1983 (Akta 281).
“Paling banyak kesalahan dilakukan ialah tidak memakai apron atau pakaian bersih melibatkan 113 notis, tidak menjaga kebersihan diri (49 notis), tidak mengikuti latihan pengendali makanan (35 notis), menggaji pengendali makanan tiada latihan dan suntikan anti typhoid (14 notis) dan lain-lain kesalahan (11 notis).
“Selain itu, penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) juga mengeluarkan 105 kompaun atas kesalahan di bawah Seksyen 107 (2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 iaitu tiada kad pengendali makanan serta sembilan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja MBKT 1980 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen,” ujarnya.