Saifuddin nafi kaitan dengan individu ditahan hina institusi diraja

Saifuddin nafi kaitan dengan individu ditahan hina institusi diraja

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba mengaitkannya dengan individu berkenaan.

Saifuddin Abdullah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliau memberikan sokongan kewangan kepada individu-individu bernama Roslizal Razali atau Dato Arshad tersebut.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah menafikan dakwaan beliau memberikan bantuan kewangan kepada individu yang ditahan pihak berkuasa berkait hantaran menghina institusi diraja.

Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengaitkannya dengan individu terbabit.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan saya memberi sokongan kewangan kepada individu-individu yang bernama Roslizal Razali atau Dato Arshad tersebut.

“Saya tidak ada apa-apa kaitan dengan apa yang dilaporkan telah dilakukan oleh mereka berdua,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Saifuddin berkata, beliau dinasihatkan oleh peguam untuk membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebar fitnah dan fakta tidak sahih berkenaan isu berkenaan, bertujuan menjejaskannya.

Pada 12 April, polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun bagi membantu siasatan berkait hantaran berbaur penghinaan terhadap institusi diraja.

Kesalahan itu dipercayai dibuat menggunakan akaun Facebook “Raja Hairun”.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.