Trak Mack keluarga diraja Johor kemalangan

Trak Mack keluarga diraja Johor kemalangan

Pemandu trak dilaporkan hilang kawalan selepas tayar pecah menyebabkan ia berlanggar dengan dua lagi kereta dari arah bertentangan di Lebuhraya PLUS.

Polis berkata tiada kecederaan dialami pemandu lori berusia 39 tahun dan semua mangsa yang terlibat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Trak Mack milik keluarga diraja Johor terlibat kemalangan dengan dua lagi kenderaan selepas tayarnya meletup di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) semalam.

Ketua Polis Kulai, Tok Beng Yeow, berkata pihaknya menerima laporan kemalangan jalan raya di KM18.8 di PLUS pada 6.50 petang semalam, lapor Oriental Daily.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar trak yang dalam perjalanan dari arah utara menghala ke selatan pecah secara tiba-tiba,” katanya.

Difahamkan, trak itu hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan dua lagi kenderaan.

Bagaimanapun, katanya tiada kecederaan dialami pemandu lori berusia 39 tahun dan semua mangsa yang terlibat.

Katanya, kes diklasifikasikan bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Terdahulu, tular sekeping gambar dan video berdurasi 23 saat di Twitter memaparkan sebuah lori dipercayai milik keluarga diraja terbabas dan memasuki laluan bertentangan di Lebuhraya PLUS, semalam.

Pada 2016, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memandu trak Mack itu ketika Kembara Mahkota Johor.

Sebelum itu media Australia melaporkan, trak berkenaan yang ditempah khas di Queensland pada 2015, adalah yang paling mahal di dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.