
Penghuni golongan muda yang ditemui berkata mereka terpaksa, agar mudah ke tempat kerja, atau tiada pilihan lain kerana masih belajar.
Pekerja swasta, Emely Tan, 26, membelanjakan RM500 sebulan untuk sebuah bilik yang didirikan di ruang tamu sebuah rumah, dipisahkan dengan tujuh bilik lain dengan sesekat.
Tan yang menyewa di Cheras dan berulang-alik ke tempat kerja dengan LRT, menyifatkan keluasan biliknya ‘lebih munasabah’ berbanding pilihan di rumah lain.
“Ada kediaman yang menawarkan ‘bilik partition’ dengan harga lebih rendah seperti RM450, tetapi ruang sangat kecil. Ada yang lebih teruk – bilik di dapur pun ada,” katanya kepada FMT.
Tan berkata ejen yang menguruskan sewaan itu memberi alasan ruangan sempit berdinding sesekat bertujuan mencegah penyewa membawa masuk ‘orang luar’.
Anis Shaharuddin, 22, pelajar universiti awam, membelanjakan RM550 sebulan untuk sebuah ‘bilik partition’ di Shah Alam.
“Itu yang termampu. Bilik pun tidak muat untuk diisi barangan. Tidak selesa, tetapi apa boleh saya buat?” katanya.
Beliau menyifatkan kadar sewa biliknya ‘membebankan’. “Saya perlu bekerja sambilan bagi menampung sewa dan kehidupan harian.”
Tiada undang-undang khusus
Seorang pakar undang-undang hartanah percaya ketiadaan undang-undang khusus secara jelas menetapkan hak pemilik dan penyewa rumah mengundang konflik berpanjangan tetapi sukar dibawa ke pengadilan.
Pengerusi Majlis Mentor Persatuan Guaman Hartanah (HartaGuam) Nazri Mustafa menggesa kerajaan segera menyelesaikan Akta Penyewaan Rumah Kediaman yang “khabarnya masih di peringkat draf setelah bertahun-tahun”.
Beliau berharap akta tersebut menetapkan klausa wajib ada dalam perjanjian sewa, menjadi punca kuasa penubuhan tribunal untuk menangani masalah yang timbul daripada penyewaan, dan membolehkan tindakan undang-undang segera diambil terhadap penyewa culas.
“Pada ketika harga rumah terus meningkat dan permintaan sewa tinggi, sudah sampai masanya ia digubal,” katanya kepada FMT.
“Bukan hak penyewa sahaja dilindungi, malah hak pemilik juga harus dititikberatkan.”
Terdahulu, iklan ‘bilik balkoni’ di Shah Alam yang disewa pada harga RM600 mencetuskan kecaman warganet terhadap pemilik kediaman terbabit.