
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mohamad Amirul Arshad Zainudin, 22, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Chai Guan Hock.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Hong Kee Ing, 70, di parkir kereta di Jalan E4/1, Taman Ehsan, dekat Gombak, antara 8.30 malam 22 Nov hingga 9.50 malam 23 Nov.
Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin, tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam, menurut Berita Harian.
Mahkamah kemudian menetapkan 16 Jan untuk sebutan semula kes bagi perkembangan laporan forensik, kimia, dan bedah siasat.
Semalam, media melaporkan lelaki itu dihadapkan ke mahkamah selepas disyaki membunuh seorang warga emas yang ditemui mati akibat ditikam dalam keretanya.
Pemangku Ketua Polis Gombak, Noor Ariffin Mohamad Nasir, dipetik berkata daripada lapan lelaki yang ditahan, seorang didakwa, empat dijadikan saksi pendakwaan dan suspek lain dibebaskan.
Katanya, motif kejadian kerana suspek tidak berpuas hati mengenai kadar sewa rumah ditetapkan mangsa.