Kebakaran paip gas: Kawalan keselamatan kawasan kediaman longgar minggu depan

Kebakaran paip gas: Kawalan keselamatan kawasan kediaman longgar minggu depan

Menteri besar Selangor berkata ia bagi membolehkan kerja baik pulih rumah yang kurang terjejas.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata laporan lengkap insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights dijangka diperoleh pertengahan Mei ini.
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa akan melonggarkan kawalan keselamatan khususnya di kawasan kediaman kurang terjejas dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights minggu depan, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Beliau berkata, pemantauan juga akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan kes kecurian atau sebarang insiden tidak diingin.

“Kita fokus (kawalan keselamatan) kawasan bencana, selepas ini mungkin membenarkan penduduk yang mengalami kerosakan kecil (rumah) untuk menjalankan kerja pembaikan.

“Sudah pasti mereka perlu pembekal mahupun kontraktor untuk memasuki kediaman. Kalau tutup tempat susah juga,” katanya dalam sidang media.

Dalam pada itu, Amirudin berkata laporan lengkap insiden kebakaran tersebut dijangka diperoleh pertengahan Mei ini, memandangkan keadaan tanah lokasi kejadian masih terlalu rapuh dan tidak selamat untuk dimasuki pasukan penyiasat.

“Laporan awal sepatutnya boleh dapat dalam tempoh dua minggu pertama, tapi kena tengok keadaan cuaca. Kawasan letupan masih tak stabil dan keadaan tanah terlalu rapuh, kalau mereka pijak boleh terjatuh.

“Pihak teknikal menjangkakan sampai bulan Mei baru mereka akan mendapat satu bukti dan kesimpulan yang lebih konkrit terhadap peristiwa yang berlaku,” katanya.

Amirudin berkata, seramai 467 mangsa yang menerima sumbangan juga akan diberikan taklimat awal berkenaan proses seterusnya bermula prosedur bantuan wang sewa oleh kerajaan negeri pada 14 April.

Katanya, seramai 87 keluarga juga mendaftar untuk mendapatkan bantuan rumah sewa seperti penginapan di Airbnb ditawarkan kerajaan negeri setakat pagi tadi.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, dilaporkan berkata pembersihan mega akan dilakukan pada Sabtu dan Ahad ini bagi membersihkan kawasan perumahan terjejas.

Katanya, akses hanya terhad kepada kawasan perumahan dan bukan di kawasan kawah tempat kebakaran berlaku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.