Siasatan terhadap pembantu Sivakumar bukti komitmen PM banteras rasuah, kata menteri

Siasatan terhadap pembantu Sivakumar bukti komitmen PM banteras rasuah, kata menteri

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata kerajaan tidak akan melindungi pegawainya yang didapati melakukan kesalahan.

Fahmi Fadzil berkata semua menteri sudah diminta memberi peringatan kepada pegawai mereka supaya tidak terlibat rasuah.
SERI KEMBANGAN:
Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang pembantu Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar menunjukkan bukti dan komitmen kerajaan membanteras rasuah.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata perkara itu juga menjadi pendirian Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang berulangkali kali mahu pegawai kerajaan bebas rasuah.

“(Penahanan) adalah bukti komitmen (Anwar) untuk membersihkan kerajaan daripada gejala rasuah.

“Kami (kerajaan) akan membenarkan SPRM menjalankan siasatan mereka. Jika mereka yang ditahan dibawa ke mahkamah, maka kita akan mematuhi proses mahkamah,” katanya ketika ditemui dalam program Kasih@Hawana 2023.

Fahmi berkata, kerajaan tidak akan melindungi pegawainya yang didapati melakukan kesalahan, sebaliknya pesalah akan menanggung sendiri dan menghadapi akibat daripada tindakan mereka.

Semalam, media melaporkan seorang pembantu Sivakumar ditahan SPRM.

Pembantu itu yang merupakan pegawai kanan Sivakumar ditahan bersama seorang ejen pengambilan pekerja asing dan penahanan mereka dikatakan kaitan siasatan membabitkan pengambilan pekerja asing.

Sivakumar juga berkata pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada agensi penguat kuasa selepas pegawai dari pejabatnya ditahan SPRM.

Sementara itu, Fahmi berkata beliau akan bertemu wakil 800 bekas wartawan Utusan Malaysia yang diberhentikan sebelum ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, pertemuan selepas Aidilfitri itu bagi melihat apa yang boleh dibantu kerana sebelum menjadi menteri pada 2018 beliau memperjuangkan nasib mereka di Dewan Rakyat.

“Sekarang selepas diamanahkan jawatan ini (menteri komunikasi dan digital) saya akan teliti kebajikan dan status terkini mereka sama ada sudah selesai atau tidak (pampasan). Apa yang boleh dibantu saya akan usahakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi menjangkakan dalam masa dua atau tiga hari lagi akan mengumumkan berita gembira kepada pengguna pelan prabayar.

Katanya, buat masa ini perbincangan sedang berlangsung dengan syarikat telekomunikasi utama negara mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan maklumat lanjut mengenainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.