Pemandu bas kurang, ramai anggap tiada masa depan, kata kumpulan pengangkutan

Pemandu bas kurang, ramai anggap tiada masa depan, kata kumpulan pengangkutan

Institut Piagam Pengangkutan dan Logistik berkata kos untuk mendapatkan PSV terlalu mahal menyebabkan ramai kurang berminat.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, perkhidmatan bas ekspres berdepan kekurangan pemandu selepas pandemik Covid-19. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Institut Piagam Pengangkutan dan Logistik (CILT) berkata, negara berdepan kekurangan pemandu bas kerana persepsi orang ramai bahawa pekerjaan itu tiada potensi perkembangan kerjaya.

Presiden CILT Malaysia Muhiyuddin Abdullah berkata, kos untuk mendapatkan Lesen Vokasional untuk kenderaan awam (PSV) untuk bas juga terlalu mahal, menyebabkan orang ramai kurang berminat untuk menceburi bidang itu.

Muhiyuddin dalam satu kenyataan berkata, ini antara cabaran dikenalpasti CILT Malaysia selepas perjumpaan dengan pemegang taruh industri pengangkutan baru-baru ini.

Katanya, pemandu ini wajar diberi persekitaran pekerjaan yang lebih baik, terutama membabitkan gaji mereka, dalam usaha menarik lebih ramai memohon jawatan itu.

“Ini termasuk memastikan pemandu diberi waktu rehat yang baik dan ganjaran atas perkhidmatan mereka,” katanya.

Untuk menarik lebih ramai menyertai kerjaya itu, katanya CILT membangunkan program pembangunan untuk merencana laluan kerjaya yang lebih jelas untuk pemandu bas, membenarkan mereka dilatih dengan baik serta boleh merancang masa depan.

Muhiyuddin juga menggesa kerajaan mencari jalan untuk mengurangkan harga lesen PSV untuk pemandu bas dan menyediakan bantuan kewangan kepada sesiapa yang mahu menjadi pemandu bas.

Tambahnya, CILT Malaysia dan Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans) bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan untuk menangani kekurangan pemandu bas.

Pada awal bulan ini, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata perkhidmatan bas ekspres berdepan kekurangan pemandu selepas pandemik Covid-19 kerana ada sebilangan pemandu mendapat tawaran pekerjaan lebih baik di Singapura atau beralih ke industri e-panggilan.

Kata Loke, kekurangan pemandu bas menyebabkan lebih banyak kenderaan persendirian di jalan raya ketika waktu puncak seperti hari raya dan Tahun Baharu Cina.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.