
Azlan, 64, didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 kerana menerima dana daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd serta Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.
Wang itu didakwa dimasukkan ke akaun bank Azlan antara Februari 2014 dan Disember 2017.
Azlan berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, jika sabit kesalahan.
Hakim Azura Alwi membenarkan Azlan diikat jamin RM50,000 dan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 9 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib mewakili pendakwaan, manakala peguam Burhanudeen Abdul Wahid mewakili Azlan.
Isnin lalu, Azlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas lima tuduhan mengemukakan tuntutan palsu lebih RM1.18 juta antara 2013 dan 2017.
Mengikut kertas pertuduhan, tuntutan palsu bagi tiket penerbangan pergi balik, penginapan dan kos pengangkutan di London itu dikemukakan tanpa perjalanan sebenar.
Dia yang didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dibenarkan diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin, selain diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah sementara menunggu kes selesai.