
Exco Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, berkata ia bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk memutuskan tindakan seterusnya ke atas pembekal ikan tersebut.
Beliau berkata, siasatan dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Kluang dan Batu Pahat, selain polis turut membuka kertas siasatan berhubung kes itu.
“Kita sedang menunggu laporan daripada pihak makmal dan kita perlu berbincang dengan pihak Kementerian Kesihatan dan universiti tentang beberapa akta yang sedia ada ini, cukup tak sampai kita boleh dakwa pembekal tersebut.
“Siasatan masih dijalankan, harapnya dalam masa terdekat ini, kalau laporan (makmal) sudah keluar, kita akan umumkan perkembangan lanjut kepada pihak media,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa malam tadi.
Beliau menambah, hasil laporan forensik menunjukkan kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat keracunan ikan buntal.
Ling berkata demikian ketika ditanya mengenai keluarga mangsa yang mahukan laporan daripada Jabatan Kesihatan Daerah mengenai kematian ahli keluarga mereka.
Menjawab pertanyaan pemberita sama ada penjualan ikan buntal boleh diharamkan di pasaran, beliau menasihatkan orang awam tidak membeli ikan seumpama itu untuk dimakan.
Mengenai tindakan ke atas pembekal, Ling berkata JKNJ merampas ikan buntal yang dijual dan diambil sampel untuk siasatan lanjut.
Bulan lalu, suami isteri warga emas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), Kluang, selepas mengalami keracunan ikan buntal, yang bekalannya diperoleh daripada penjual secara dalam talian melalui Facebook.
Wanita berusia 83 tahun itu meninggal dunia di hospital berkenaan pada 25 Mac manakala suaminya, yang berusia 84 tahun meninggal dunia di hospital sama pada Sabtu lalu.