Bantuan Aidilfitri diawalkan 14 April

Bantuan Aidilfitri diawalkan 14 April

Perubahan tarikh mengambil kira keprihatinan membantu penjawat awam dan pesara membuat persediaan menyambut Aidilfitri.

Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam dan pesara sebelum ini ditetapkan pada 17 April.
PUTRAJAYA:
Kerajaan bersetuju tarikh pembayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) 2023 kepada pegawai perkhidmatan awam dan pesara kerajaan diawalkan dari 17 April kepada 14 April ini.

Menerusi surat edaran bertarikh hari ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Zulkapli Mohamed, memaklumkan perubahan tarikh itu mengambil kira keprihatinan dalam membantu meringankan beban penjawat awam dan pesara kerajaan dalam membuat persediaan bagi menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

“Sukacita dimaklumkan bahawa, mengambil kira keprihatinan dalam membantu meringankan beban penjawat awam dan pesara kerajaan dalam membuat persediaan untuk menyambut perayaan tidak lama lagi, kerajaan bersetuju membuat perubahan ke atas tarikh pembayaran BKKA 2023 kepada pegawai perkhidmatan awam dan pesara kerajaan daripada 17 April kepada 14 April 2023,” menurut surat edaran itu.

Surat itu juga memaklumkan arahan berkenaan pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan, tertakluk kepada penerimaan pakai oleh pihak berkuasa masing-masing.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada Februari lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, pemberian BKKA adalah langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu penjawat awam membuat perancangan dan persiapan awal bagi menyambut Hari Raya.

Semua penjawat awam gred 56 ke bawah yang masih berkhidmat sehingga 17 April 2023 termasuk lantikan kontrak akan menerima RM700 manakala BKKA sebanyak RM350 pula akan diberikan kepada pesara perkhidmatan awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.