Disyaki rogol anak tiri, suami isteri ditahan polis

Disyaki rogol anak tiri, suami isteri ditahan polis

Mangsa dipercayai menjadi mangsa rogol bapa tirinya sejak tiga tahun lalu dan kejadian turut diketahui ibu kandungnya.

Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
PETALING JAYA:
Sepasang suami isteri ditahan polis malam tadi selepas dipercayai terlibat kejadian rogol membabitkan anak perempuan mereka yang berusia 16 tahun sejak tiga tahun lalu di Jasin, Melaka.

Ketua Polis Jasin, Ahmad Jamil Radzi, berkata suspek yang merupakan bapa tiri serta ibu kandung mangsa masing-masing berusia 36 dan 40 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) kira-kira 9.30 malam sebaik tiba dari Sabah.

Katanya, remaja perempuan yang masih bersekolah itu dipercayai menjadi mangsa rogol bapa tirinya sejak 2020 dan kejadian turut diketahui ibu kandungnya.

“IPD Jasin ada menerima satu laporan mengenai kejadian rogol ke atas satu remaja perempuan berusia 16 tahun di Jasin.

“Bertindak atas maklumat, tangkapan dilakukan ke atas bapa tiri dan ibu kandung mangsa di klia2, Sepang,” katanya menurut Astro Awani.

Susulan penahanan itu, Jamil berkata kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.

“Mahkamah Majistret Ayer Keroh pagi tadi membenarkan permohonan reman dua suspek selama tujuh hari bermula hari ini hingga Sabtu depan.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 375 B Kanun Keseksaan/109 kanun sama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.