
Ketua Polis Seri Alam, Sohaimi Ishak berkata, kedua-dua suspek bersama suspek lain dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru melalui laluan lazim ke bangunan mahkamah untuk proses mendapatkan perintah reman.
“Sepanjang perjalanan di laluan itu, IPD Seri Alam tidak mengatur mana-mana pihak atau jurugambar untuk berada di lokasi bagi membuat sebarang rakaman semasa suspek dibawa untuk proses reman.
“IPD Seri Alam juga sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti pelanggaran prosedur semasa proses reman berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Ketua Biro Hak Asasi Manusia Muda, Dobby Chew dilaporkan mengkritik tindakan polis menggari gadis berusia 17 tahun yang didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh dengan seorang lelaki dalam kereta selepas satu video 23 saat tular di media sosial.
Beliau berkata, Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan peraturan jelas mengenai layanan terhadap pesalah juvana.
“Adalah tidak beretika dan merosakkan imej polis mengiringi kedua-duanya dalam keadaan bergari serta berpakaian reman dan membenarkan gambar mereka dirakam, disebar dan dikongsi secara bebas,” katanya dalam kenyataan.