Sudah tiba masa untuk reformasi badan kehakiman, SPRM, kata pemimpin Umno

Sudah tiba masa untuk reformasi badan kehakiman, SPRM, kata pemimpin Umno

Wan Agyl Wan Hassan berkata, kes Hakim Nazlan Ghazali menekankan kepentingan ketelusan dan kejelasan dalam siasatan dan proses kehakiman.

Pada 24 Feb, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan SPRM tidak mengikut protokol semasa menjalankan siasatan terhadap Hakim Nazlan Ghazali.
PETALING JAYA:
Hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Nazlan Ghazali menunjukkan sudah tiba masanya reformasi dilaksanakan dalam badan kehakiman dan agensi anti-rasuah itu, kata seorang pemimpin Pemuda Umno.

Wan Agyl Wan Hassan berkata, kes Nazlan menekankan kepentingan ketelusan dan kejelasan dalam siasatan dan proses kehakiman.

“Ini bukan lagi mengenai (bekas perdana menteri) Najib Razak, ia mengenai keadilan, kesaksamaan dan kebebasan SPRM untuk menyiasat sesiapa sahaja jika mereka percaya ada alasan wajar untuk berbuat demikian,” kata pengerusi tetap Pemuda Umno itu kepada FMT.

Wan Agyl berkata, penting bagi pihak penguatkuasa undang-undang seperti SPRM kekal bebas dan adil bagi memastikan keadilan dilaksanakan dengan betul, tanpa ada mana-mana individu atau organisasi yang disasarkan atau dilindungi secara berlebihan.

Semalam, Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said mendedahkan siasatan SPRM ke atas Nazlan dan menyimpulkan bahawa beliau telah melanggar Kod Etika Hakim, serta mempunyai konflik kepentingan ketika mengendalikan kes SRC International.

Dalam surat bertarikh 20 Mac kepada peguam cara Najib, Shafee & Co, Azalina mengesahkan bahawa Nazlan, yang mengetuai perbicaraan SRC International bekas perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi, telah melanggar kod dan mempunyai konflik kepentingan.

Beliau berkata, ini berdasarkan penemuan SPRM bertarikh 20 Feb, yang diberikan agensi itu kepadanya.

Azalina menjawab surat daripada peguam bela Najib bertarikh 15 Mac yang bertanyakan sama ada SPRM telah menulis kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat untuk mengesyorkan supaya prosiding tatatertib dimulakan terhadap Nazlan berhubung pengendalian kes SRC.

Wan Agyl turut melahirkan kekecewaan terhadap Tengku Maimun kerana “dilihat” berpandangan bahawa SPRM tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat Nazlan tanpa terlebih dahulu memaklumkan kepada badan kehakiman.

“Gambarannya bahawa hakim individu yang hebat, seolah-olah mereka tidak akan melakukan sebarang kesalahan dalam apa jua keadaan, adalah sesuatu yang perlu kita benar-benar renungkan,” katanya.

Pada 24 Feb, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tengku Maimun memutuskan SPRM tidak mengikut protokol semasa menjalankan siasatan terhadap Nazlan.

Mahkamah tertinggi itu berkata, badan penyiasat seperti SPRM mesti berunding dengan ketua hakim negara sebelum memulakan siasatan terhadap hakim. Kegagalan badan itu memaklumkan tindakannya menunjukkan terdapat kekurangan bona fide di pihaknya, kata panel itu.

Wan Agyl berkata, memandangkan hakim dan mereka yang memegang jawatan tertinggi dalam agensi penguatkuasaan seperti SPRM dilantik oleh eksekutif, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk “menamatkan kecelaruan ini”.

Beliau berkata, kerajaan perlu mendesak dalam melaksanakan pembaharuan bagi memastikan kebebasan dan kesaksamaan institusi-institusi ini.

“Ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada individu seperti Najib dan Nazlan, malah akan meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap sistem perundangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.