
Beliau berkata, Anwar harus berhati-hati dengan cabaran yang mungkin dihadapinya susulan amaran Bank Dunia berhubung kelembapan mendadak dalam pertumbuhan global tahun ini.
“Tidak salah atau memandai-mandai bagi rakyat mengharapkan kerajaan mempunyai idea cukup jelas tentang apa yang tidak kena dengan negara dan bagaimana memperbaikinya selepas lebih empat bulan berkuasa,” katanya dalam catatan Facebook.
Beliau berkata, Anwar yang juga menteri kewangan mempunyai “lapisan demi lapisan birokrasi” yang boleh membantunya menangani pelbagai cabaran ekonomi.
“Beliau mempunyai Rafizi Ramli sebagai menteri ekonominya. Beliau juga mempunyai Unit Perancang Ekonomi, Bank Negara Malaysia dan panel penasihat yang diketuai (bekas ketua pegawai eksekutif Petronas) Hassan Marican, (Pengerusi Eksekutif FVSB) Ahmad Fuad Ali, (Pengerusi Sarawak Energy Bhd ) Abdul Hamed Sapawi serta pakar ekonomi Yeah Kim Leng dan Rajah Rasiah.”
Semua individu itu mahir dalam teori ekonomi, justeru beliau berharap Anwar akan kerap merujuk kepada mereka.
Kadir berkata, Anwar boleh menggunakan pengalaman Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari Ghani, yang merupakan bekas menteri kewangan kedua.
“Johari mungkin paling arif dalam ekonomi dan perdagangan dalam kalangan pemimpin Umno.”
Bulan lalu, Anwar melantik Hassan, Fuad, Hamed, Yeah dan Rajah menyertai sebuah lembaga pengarah untuk menasihatinya atas kapasitinya sebagai menteri kewangan. Mereka tidak akan dibayar gaji.
Kadir berharap pengetahuan ekonomi Anwar bertambah baik, sejak beliau mula mengambil portfolio kewangan pada 1990-an.
“Beliau mempunyai Dr Mahathir Mohamad sebagai bosnya ketika itu dan Daim Zainuddin sebagai panduannya.”