
Pengerusinya, Mas Ermieyati Samsudin, berkata ia bagi memastikan sensitiviti kerahsiaan keselamatan dan pertahanan negara terjamin.
“Jika Peraturan Mesyuarat 85 (PM85) ini dipinda bagi membolehkan prosiding PAC diadakan secara terbuka, kita akan merangka mekanisme dan manual khusus dalam memastikan kerahsiaan isu ini terus terjamin,” katanya yang menambah tidak akan berkompromi mengenai isu keselamatan, menurut Berita Harian.
Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, beliau akan berbincang dengan ahli ex-officio PAC membabitkan Pejabat Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sama ada prosiding sesuai diadakan secara terbuka atau sebaliknya.
Katanya, wujud keperluan mendesak meminda PM85 dalam memastikan ketelusan dan kredibiliti PAC menyiasat isu berkaitan perolehan dan tadbir urus kerajaan, terutama berkaitan kewangan.
Mas Ermieyati sebelum ini mencadangkan semua prosiding PAC dilakukan secara terbuka bagi memastikan ia berjalan secara telus, berakauntabiliti, dan berkredibiliti.
Ahli Parlimen Perikatan Nasional itu berkata, prosiding secara terbuka perlu seiring agenda reformasi institusi yang menjadi fokus utama kerajaan pada masa kini.
Bagaimanapun, bekas menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata prosiding PAC secara terbuka berisiko mendedahkan pelbagai rahsia kerajaan terutama membabitkan hal keselamatan dan pertahanan.