Permulaan cukai GMT boleh kutip RM1 bilion, kata timbalan menteri

Permulaan cukai GMT boleh kutip RM1 bilion, kata timbalan menteri

Ahmad Maslan berkata RUU berkait cukai minimum global diharap dapat dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan berkata, Malaysia secara dasarnya bersetuju melaksanakan GMT sebanyak 15% kepada sesetengah syarikat multinasional.
CYBERJAYA:
Negara boleh memperoleh hasil RM1 bilion sebagai permulaan apabila cukai minimum global (GMT) diperkenalkan, kata Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan.

Beliau berkata Rang Undang-Undang (RUU) yang berkaitan diharap dapat dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun ini.

Ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar dan Penyerahan Sumbangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Ahmad berkata kertas berkaitan RUU tersebut sedang disediakan oleh Bahagian Cukai Kementerian Kewangan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara.

Mengenai maklum balas daripada syarikat multinasional yang bertapak di negara ini berhubung pelaksanaan GMT, katanya mereka perlu akur dengan standard antarabangsa selain tiada pilihan lain kerana isu cukai tersebut telah dibincangkan sejak dua tahun lepas.

“Perkara itu (GMT) memang perlu dilaksanakan dan boleh menjadi sumber baharu bagi hasil cukai negara, mungkin selepas diperkenalkan, kita boleh dapat RM1 bilion sebagai permulaan,” katanya.

Malaysia secara dasarnya bersetuju melaksanakan GMT sebanyak 15% kepada sesetengah syarikat multinasional. Malaysia antara 136 negara yang diumumkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) sebelum ini sebagai negara yang sudah bersedia melakukan reformasi sistem percukaian antarabangsa tersebut.

Pelaksanaan sistem cukai itu untuk memastikan entiti perniagaan membayar cukai secara adil di negara hos dan mengelak kebocoran cukai.

Mengenai Program Pengakuan Secara Sukarela LHDN sebagai strategi perluasan hasil cukai, Ahmad berkata ia akan dilaksanakan bermula 1 Jun depan dan berakhir pada 31 Mei 2024.

“Program ini dijangka melibatkan sebanyak 50,000 pembayar cukai dengan anggaran kutipan cukai bernilai RM1 bilion,” katanya.

Beliau berkata pembayar cukai dinasihatkan untuk ke pejabat LHDN apabila program itu mula dilaksanakan kepada mereka yang layak sebelum aktiviti audit dan siasatan iaitu prosedur biasa LHDN untuk diambil ke atas mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.