PRN Sabah: Jangan sabotaj calon BN, ahli Umno diberitahu

PRN Sabah: Jangan sabotaj calon BN, ahli Umno diberitahu

Ketua sekretariat 'War Room' Umno, Ahmad Maslan berkata semua ahli perlu menerima keputusan pucuk pimpinan parti dengan hati terbuka.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Ahmad Maslan berkata keputusan pemilihan calon dibuat selepas meneliti pelbagai pandangan serta pertimbangan daripada Umno Sabah dan Umno pusat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Umno diberi peringatan untuk tidak sabotaj mana-mana calon yang dipilih untuk bertanding dalam PRN Sabah tidak lama lagi dan menerima keputusan pucuk pimpinan parti dengan hati terbuka.

Ketua sekretariat ‘War Room’ Umno, Ahmad Maslan berkata, proses pemilihan calon pada peringkat akhir dan keputusan dibuat selepas meneliti pelbagai pandangan serta pertimbangan daripada Umno Sabah dan Umno pusat.

“Saya berharap siapa pun yang diputuskan menjadi calon perlu diterima. Jangan ada sabotaj atau ‘cah keting’ yang hanya akan rugikan parti pada PRN kali ini,” katanya yang dipetik Sinar Harian berkata dalam satu program di Johor.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu juga berkata menjadi calon bukan perkara mudah kerana kehidupan selepas itu bukan lagi milik diri dan keluarga semata-mata, tetapi untuk rakyat.

“Bila jadi calon, mereka perlu bekerja keras memastikan kemenangan. Saya ucapkan selamat berjuang kepada mereka yang dipilih,” katanya.

Beliau turut menasihatkan mereka yang tidak terpilih agar kekal setia dan beri kerjasama kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kemenangan parti.

BN dijangka mengumumkan senarai calon yang akan bertanding seminggu sebelum hari penamaan calon pada 15 Nov ini.

Terdahulu hari ini, Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin berkata gabungan itu akan bertanding kurang 48 kerusi pada PRN itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 Nov ini, manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.