Jason Lo kekal bebas tuduhan dadah

Jason Lo kekal bebas tuduhan dadah

Mahkamah Tinggi menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Majistret tahun lalu.

Penyanyi Jason Lo berkata dia percaya dengan sistem kehakiman Malaysia dan berterima kasih kepada peguamnya selepas Mahkamah Tinggi membebaskannya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Penyanyi Jason Lo kekal bebas atas pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam badannya.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Noorin Badaruddin menolak rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Majistret melepas dan membebaskan Jason Lo atau nama sebenarnya Jason Jonathan Lo daripada pertuduhan itu.

“Rayuan pihak pendakwaan diketepikan dan keputusan Mahkamah Majistret melepas dan membebaskan responden (Jason Lo) dikekalkan,” kata Noorin.

Prosiding hari ini dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Nik Mohd Fadli Nik Azlan, manakala Jason Lo diwakili Hariharan Tara Singh.

Pada 24 Jun tahun lepas, Majistret Mohamad Fared Abdul Latif membebaskan Jason Lo yang juga ahli perniagaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Jason Lo, 48, didakwa memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badannya tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang, di tandas pejabat narkotik IPD Brickfields di Jalan Travers, Brickfields pada 5.15 petang, 15 Nov 2019.

Pendakwaan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan diwajibkan pengawasan di bawah seliaan pegawai pemulihan sehingga tiga tahun.

Jason Lo ketika ditemui pemberita berkata, beliau bersyukur dengan keputusan hari ini dan berterima kasih kepada peguam yang mewakilinya dalam kes itu.

“Saya percaya dengan sistem kehakiman di negara ini dan saya hargai jasa peguam yang telah bekerja keras dalam membantu saya dalam kes ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.