
Peguam Rafique Rashid Ali berkata, Lembaga Pelabuhan Labuan membuat keputusan kolektif untuk memberikan kontrak kepada Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM).
“Untuk wujud kesalahan bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, pertama sekali seseorang itu mesti mempunyai kuasa untuk disalah guna,” katanya dalam penghujahan di hadapan hakim perbicaraan Rozina Ayob.
Peguam itu menggunakan kes SRC International Najib Razak sebagai contoh, menyatakan bahawa Najib pada masa itu ialah perdana menteri, menteri kewangan dan pengarah de facto SRC.
Beliau berkata, tiada anggota Jemaah Menteri menggunakan kuasa veto mengatasi Najib yang mahu meluluskan jaminan kerajaan kepada SRC untuk mendapatkan pinjaman daripada dana persaraan.
Dalam kes ini, semua ahli lembaga pelabuhan memberikan keterangan bahawa tertuduh tidak mengenakan sebarang paksaan atau kekerasan untuk mempengaruhi mereka agar membolehkan LLPM terus menjadi pengendali pelabuhan Labuan.
“Tertuduh tidak perlu dipanggil untuk menjawab pertuduhan apabila jelas keputusan kolektif telah dibuat,” katanya.
Rafique, yang dibantu oleh Nur Mustanir Nor, berkata ahli lembaga pengarah LLPM mengesahkan bahawa Rozman hanya mengutamakan kepentingan rakyat Labuan.
Katanya, bapa dan adik Rozman hanya memegang 1.04% ekuiti dalam syarikat itu, yang paling rendah dalam kalangan pemegang saham.
Beliau berkata, kegagalan pihak pendakwaan memanggil pengerusi lembaga pelabuhan ketika itu, Wee Jeck Seng, sebagai saksi menafikan peluang pihak pembelaan untuk memeriksa balasnya.
“Inferens bertentangan dan memihak kepada tertuduh harus dibuat (terhadap pihak pendakwaan) kerana tidak memanggil pengerusi,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Azmi berkata, Rozman berada dalam kedudukan berpengaruh kerana dia timbalan pengerusi lembaga pelabuhan ketika itu.
“Dia mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan yang menyaksikan pelabuhan memberikan kontrak kepada LLPM,” katanya.
Feisal berkata, jawatankuasa pembangunan dan pelaburan lembaga pelabuhan telah pun mengemukakan cadangan untuk melantik LP Multi-Terminal Sdn Bhd.
“Bagaimanapun, tertuduh pada mesyuarat lembaga pengarah 23 Mac 2018 mencadangkan pelantikan LP Multi-Terminal ditangguhkan kerana ia akan memberikan kesan buruk kepadanya sebagai Ahli Parlimen Labuan,” katanya.
Ini kerana Rozman berpendirian bahawa LLPM, sebuah syarikat yang berpangkalan di Labuan, telah banyak menjalankan usaha yang bagus untuk jawatankuasa tempatan.
Beliau berkata, LLPM kemudiannya dibenarkan menjadi operator pelabuhan sehingga 2020.
Feisal berkata, empat anggota lembaga pelabuhan juga memberikan keterangan bahawa Rozman tidak pernah mengisytiharkan kepentingannya dalam LLPM dan tidak meninggalkan bilik mesyuarat apabila keputusan perlu dibuat.
“Wujud anggapan bawah Akta SPRM bahawa (Rozman) menyalahgunakan kuasanya untuk mendapatkan (sesuatu berbentuk) suapan,” katanya.
Feisal, yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Siti Amirah Ali, juga berkata pihak pendakwaan telah menyediakan Wee untuk memberikan keterangan bagi pembelaan.
“Kami telah menetapkan unsur pertuduhan dan tertuduh harus membela diri,” katanya.
Rozman, 59, berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dari 2013 hingga November tahun lepas.
Dia didakwa sebagai pegawai badan awam menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan sesuatu berbentuk suapan bagi LLPM.
Kesalahan didakwa dilakukan di bilik mesyuarat Kementerian Pengangkutan di Putrajaya pada 21 Mac 2018.
Rozina akan menyampaikan keputusannya pada 30 Mei.