Libat kami dalam jawatankuasa bincang isu doktor kontrak, Hartal beritahu kerajaan

Libat kami dalam jawatankuasa bincang isu doktor kontrak, Hartal beritahu kerajaan

Hartal Doktor Kontrak berkata jawatankuasa itu tidak memberi 'impak cukup' tanpa kehadiran wakil sepatutnya.

Hartal Doktor Kontrak mahu ada wakil dalam jawatankuasa antara kementerian membincangkan isu berkaitan doktor kontrak.
PETALING JAYA:
Hartal Doktor Kontrak (HDK) menggesa kerajaan melibatkan kumpulan itu dalam jawatankuasa antara kementerian yang ditubuhkan bagi membincangkan isu doktor kontrak.

HDK berharap dengan penubuhan jawatankuasa itu akan mempercepatkan perbincangan dan analisis mengenai situasi itu.

“Bagaimanapun, kami menggesa menteri kesihatan memasukkan HDK sebagai anggota supaya dapat mewakili doktor kontrak sewajarnya dalam jawatankuasa itu,” kata kumpulan itu dalam kenyataan.

Katanya, tanpa wakil bersesuaian, jawatankuasa itu tidak memberi impak cukup menyelesaikan isu berbangkit, sebaliknya menjadi “beberapa jawatankuasa sama sebelum ini bagi menangani isu itu”.

Pada 1 Apr, FMT melaporkan Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan jawatankuasa antara kementerian melihat isu berkaitan doktor kontrak.

HDK berkata, langkah seterusnya adalah menubuhkan suruhanjaya penjagaan kesihatan kebangsaan dalam memantau dan menambahbaik perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Dalam perkembangan berasingan, HDK menafikan sebarang pembabitan dalam mogok selama tiga hari oleh doktor kontrak, bermula hari ini.

Katanya, HDK tiada “pengaruh secara langsung atau tidak langsung” dalam mogok yang dirancang satu lagi kumpulan dikenali Mogok Doktor Kontrak.

“Walaupun kami tidak terlibat, tetapi kami percaya itu adalah hak mereka untuk berbuat demikian, dan kesan mogok itu ditanggung mereka,” kata HDK.

HDK juga berharap, mogok itu tidak menjejaskan penjagaan pesakit dan perkhidmatan penjagaan kesihatan akan kembali pulih apabila mogok itu berakhir.

Lebih 8,000 doktor kontrak dijangka melancarkan mogok bermula hari ini hingga Rabu dengan mengambil cuti sakit atau kecemasan. Mereka membantah apa yang disifatkan sebagai sistem yang tidak adil dan bayaran gaji rendah.

Kumpulan itu juga memberi amaran waktu menunggu lebih lama di klinik kesihatan dan hospital kerajaan sepanjang tiga hari mogok tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.