5 laporan tipu umrah babit kerugian lebih RM200,000 di Terengganu

5 laporan tipu umrah babit kerugian lebih RM200,000 di Terengganu

Polis Terengganu mengingatkan orang ramai berhati-hati terhadap syarikat menawarkan pelbagai pakej menarik untuk mengaburi pelanggan.

KUALA TERENGGANU:
Polis menerima lima laporan berkaitan kes penipuan pakej umrah dan haji oleh dua syarikat dengan jumlah kerugian RM214,315.

Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa, berkata empat laporan diterima semalam melibatkan sebuah syarikat di sini, manakala satu laporan diterima hari ini membabitkan sebuah agensi pelancongan, umrah dan haji di Alor Setar, Kedah.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai sentiasa berhati-hati terhadap syarikat menawarkan pelbagai pakej menarik untuk mengaburi pelanggan.

“Tahun ini, setakat ini, kita ada lima laporan kes penipuan melibatkan kerugian lebih RM200,000 berbanding hanya dua kes tahun lalu dengan jumlah kerugian RM120,000.

“Untuk kes hari ini, syarikat tersebut sebenarnya beribu pejabat di Alor Setar, tetapi laporan dibuat di Kuala Terengganu kerana mangsa dan transaksi wang dilakukan dari sini,” katanya di IPK Terengganu.

Rohaimi berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai mangsa membuat laporan polis dalam masa terdekat dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Seorang mangsa, Ahmad Kashfi Ab Rahman, berkata beliau serta 14 ahli keluarga sepatutnya mengerjakan umrah pada 28 Feb lalu, tetapi ditunda ke 3 Mac atas sebab tertentu.

Bagaimanapun, penjawat awam itu dimaklumkan abangnya bahawa syarikat terbabit membatalkan penerbangan itu dan akan memberi tarikh baharu untuk mereka sekeluarga berangkat ke Tanah Suci.

“Saya dan abang kemudiannya cuba menghubungi syarikat berkenaan melalui pelbagai cara, tetapi tiada jawapan.

“Kami nekad membuat laporan polis kerana merasa tertipu. Kami juga mendapat tahu syarikat ini memang bermasalah dan ada juga mangsa lain dari Terengganu yang turut terpedaya,” katanya selepas membuat laporan polis.

Kashfi berharap polis dapat mengambil tindakan lebih tegas dan memantau ketat syarikat umrah serta haji bagi mengelakkan lebih ramai orang terpedaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.