Tiada halangan ahli politik hadir program sekolah, kata Fadhlina

Tiada halangan ahli politik hadir program sekolah, kata Fadhlina

Bagaimanapun, menteri pendidikan berkata mana-mana individu perlu membuat permohonan awal dan mematuhi tatacara sebelum hadir ke program sekolah.

Fadhlina Sidek berkata, bukan sahaja kepada orang kenamaan ahli politik tetapi kepada semua pihak, termasuk NGO dan orang perseorangan yang mesti mendapat kebenaran daripada kementerian untuk masuk ke sekolah. (Gambar KPM)
PETALING JAYA:
Tiada halangan untuk mana-mana ahli politik sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang untuk hadir atau diundang menyertai mana-mana program dalam kawasan sekolah, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Bagaimanapun, Fadhlina berkata mereka perlu melakukan permohonan dan mematuhi tatacara Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 4 Tahun 2023, mengenai garis panduan undangan atau lawatan orang kenamaan dan ahli politik ke institusi pendidikan, lapor Bernama.

“Sebenarnya Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan garis panduan bagaimana tatacara kemasukan, bukan sahaja kepada orang kenamaan ahli politik tetapi kepada semua pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang mesti mendapat kebenaran daripada kementerian.

“Kebenaran mesti diperolehi dalam tempoh 30 hari, kemudian siapa yang menjemput, siapa yang ingin masuk ke sekolah itu mesti mengemukakan permohonan dan mesti ada perincian program, objektif dan impak program tersebut,” katanya kepada wartawan selepas satu program berbuka puasa di institut pendidikan guru di Kangar, Perlis.

Beliau diminta mengulas dakwaan bahawa ada pemimpin pembangkang yang tidak dibenarkan masuk ke sekolah di sebuah negeri, untuk menghadiri program di sekolah tersebut.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata garis panduan itu terpakai kepada semua pihak dan kementerian tidak ada masalah untuk membenarkan mana-mana individu masuk ke sekolah, sekiranya garis panduan itu dipatuhi.

“Untuk rekod kami kalau tidak ada permohonan memang tidak boleh masuk. Jadi menjadi tanggungjawab kami untuk menjaga keselamatan dan kebajikan keseluruhan warga sekolah,” katanya yang turut menegaskan bahawa kementerian tidak ‘pilih bulu’ dalam perkara itu.

Mengenai isu guru bersara awal, Fadhlina berkata kementeriannya mengambil serius perkara itu dan telah mengambil langkah-langkah perlu bagi mengatasinya, termasuk mengukuhkan ekosistem perguruan dengan menyediakan khidmat sokongan agar guru-guru dapat bertahan.

“Kementerian juga mengambil langkah meningkatkan profesionalisme guru, supaya mereka boleh bertahan dalam sistem pendidikan ini dengan sokongan mental, emosi, sokongan profesionalisme dan latihan pembangunan, supaya hala tuju kerjaya mereka dapat dilihat dengan jelas.

“Sokongan-sokongan inilah yang akan mengukuhkan lagi ekosistem itu dan dalam masa yang sama, kita memang tidak ambil mudah isu-isu ini kerana penempatan guru dan kekurangan guru memberi kesan kepada sekolah dan sistem pendidikan,” katanya.

Selain itu katanya, KPM turut mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan untuk menggantikan segera guru yang bersara awal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.