Jurulatih berbasikal terkait kes gangguan seksual letak jawatan, kata Yeoh

Jurulatih berbasikal terkait kes gangguan seksual letak jawatan, kata Yeoh

Siasatan terhadap insiden gangguan seksual terhadap atlet wanita berusia 20-an itu akan terus dijalankan kerana ia sudah menjadi kes bawah Kanun Keseksaan, kata menteri itu.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memberi amaran bahawa kementeriannya akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dalam gangguan seksual dalam bidang sukan. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Jurulatih yang dikaitkan dengan kes gangguan seksual membabitkan seorang pelumba wanita negara bagi acara berbasikal bukit telah meletak jawatan, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Bagaimanapun, katanya, siasatan terhadap insiden gangguan seksual itu akan terus dijalankan memandangkan insiden itu sudah menjadi kes bawah Kanun Keseksaan.

“Gangguan seksual ini wujud dalam (Kanun Keseksaan) dan laporan polis telah dibuat, namun kita kena pastikan setiap aduan disiasat dengan adil. Kalau ada tuduhan yang tidak benar, perlu pastikan ada keadilan bagi orang yang dituduh.

“Oleh itu, biar siasatan dijalankan dahulu, selepas polis dan pegawai pelindung daripada Majlis Sukan Negara (MSN) habiskan siasatan, baru kita akan komen lebih lanjut… untuk keadilan semua pihak.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen pengumpulan dana bagi menghantar pasukan footgolf kebangsaan ke Piala Dunia Footgolf di Orlando, Florida, Amerika Syarikat hari ini.

Semalam, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Abu Samah Abd Wahab dilaporkan mengesahkan telah menerima laporan berhubung kes gangguan seksual membabitkan seorang pelumba wanita negara.

Atlet wanita berusia 20-an itu, yang membuat laporan polis dua hari lepas, mendakwa mengalami gangguan seksual daripada jurulatihnya sendiri, semasa menjalani latihan bersama pasukan.

Susulan itu, kata Yeoh, kementeriannya juga telah mengaktifkan pegawai pelindung dalam MSN selaras dengan Kod Sukan Selamat dan akan memantau siasatan kes itu, terutama di peringkat MSN, bagi memastikan tindakan diambil dengan cepat.

Menurut Yeoh, beliau mahu kes berkenaan dijadikan contoh, dalam cara ia dikendalikan menurut prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan Kod Sukan Selamat yang baru sahaja dilancarkan.

Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran bahawa kementeriannya akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang terlibat sekiranya ada lagi aduan berhubung gangguan seksual.

“Saya tidak kira kalau pesalah itu atlet nombor satu negara. Kalau ada kes seperti ini dan anda telah mewujudkan satu persekitaran yang tidak selamat, tindakan tegas akan diambil oleh KBS (Kementerian Belia dan Sukan),” katanya.

Mengulas mengenai persiapan atlet lain susulan kejadian itu, beliau berkata, MSN akan memastikan seorang pegawai wanita dilantik bagi memastikan persiapan dan latihan pasukan berbasikal tidak terganggu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.