Yakin terlepas hukuman punca penguat kuasa terus amal rasuah

Yakin terlepas hukuman punca penguat kuasa terus amal rasuah

Kepincangan dalam sistem menyebabkan mereka merasakan boleh terlepas daripada dikenakan hukuman, kata bekas pesuruhjaya Suhakam.

Pegawai penguat kuasa tidak bertanggungjawab menggunakan kedudukan mereka untuk mengaut rasuah daripada warga asing dan masalah itu dilihat ‘kronik’, menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya.
PETALING JAYA:
Punca mengapa pegawai penguat kuasa undang-undang terlibat dalam amalan rasuah adalah kerana mereka percaya akan terlepas daripada hukuman, menurut bekas pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Khusairi Yahaya bahawa pegawai penguat kuasa yang tidak bertanggungjawab menggunakan kedudukan mereka untuk mendapatkan rasuah daripada warga asing dan keadaan itu menjadi “semakin kronik dan membimbangkan”.

Ditanya mengenai punca rasuah dalam kalangan pegawai penguat kuasa undang-undang, Joseph berkata: “Bebas daripada hukuman.”

Jerald Joseph.

Beliau berkata “ramai merasakan mereka boleh terlepas” kerana kepincangan dalam sistem hukuman.

Joseph, pengarah NGO hak asasi manusia Pusat Komas juga berkata, warga asing yang memilih untuk tidak membuat laporan polis kerana mereka takut menerima kesan.

“Oleh itu, perlindungan mesti diberikan kepada mereka supaya tidak dihukum pihak berkuasa, seperti membatalkan pas kerja atau membuka kertas siasatan lain terhadap mereka,” katanya.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia, Jais Abdul Karim, setuju dengan Joseph, sambil berkata pegawai penguat kuasa yang didapati bersalah melakukan salah laku oleh agensi mereka sendiri hampir tidak pernah didakwa di mahkamah.

Jais Abdul Karim.

“Pegawai yang terlibat dengan rasuah itu hanya dikenakan surat amaran atau tindakan tatatertib kecil seperti penggantungan jangka pendek,” katanya.

“Akibatnya, mereka tidak pernah menyesal dengan tindakan itu. Saya percaya mereka sepatutnya dipecat sahaja.”

Khusairi turut mengecam pegawai yang dikaitkan dengan aktiviti mengutip rasuah secara “ad-hoc” atau secara tetap daripada penyeludup pekerja ke negara ini, mereka yang menjalankan aktiviti perlombongan dan perikanan haram, dan penyeludup barangan terlarang dan terkawal.

Beliau juga mengecam pegawai penguat kuasa yang meminta rasuah di sempadan negara untuk mempercepatkan proses keluar masuk bagi warga asing yang tinggal lebih masa, terlibat jenayah, disenaraihitamkan, atau tidak memenuhi syarat kemasukan.

Ditanya mengenai penyelesaian jangka panjang, Jais berkata sudah tiba masa untuk semua pegawai penguat kuasa memakai kamera badan, sambil menambah hukuman berat mesti dikenakan kepada mereka yang tidak mematuhinya.

“Jika mereka boleh terlepas daripada perkara ini di lapangan terbang, yang mempunyai sistem pengawasan dan keselamatan yang canggih, apa lagi di pintu masuk dan keluar di sepanjang sempadan,” katanya.

“Sebab itu kamera badan amat diperlukan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.