Umno ‘enggan berubah’, walaupun hadapi dugaan

Umno ‘enggan berubah’, walaupun hadapi dugaan

Perihal penggantian ketua menteri Melaka menunjukkan Umno masih dibelenggu politik ‘panglima perang', kata ahli akademik.

Peletakan jawatan ketua menteri Melaka Sulaiman Ali, diganti dengan Ab Rauf Yusoh, ialah manifestasi perebutan kuasa antara puak Umno, kata seorang ahli akademik.
PETALING JAYA:
Politiking yang jelas dalam perebutan jawatan ketua menteri Melaka mendorong seorang ahli akademik menuduh Umno enggan mengubah caranya walaupun prestasinya merosot sejak kebelakangan ini.

Merujuk kepada peletakan jawatan ketua menteri Sulaiman Ali, digantikan dengan Ab Rauf Yusoh, Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia berkata, ini manifestasi perebutan kuasa antara puak Umno.

“Ia membuktikan Umno masih dibelenggu politik ‘panglima perang’,” katanya kepada FMT.

Sulaiman ialah Adun Lendu.

Rauf, ketua Umno Melaka dan Adun Tanjung Bidara, dijangka dinamakan ketua menteri ke-13. Beliau telah berulang kali dikaitkan dengan jawatan itu sejak Barisan Nasional (BN) memenangi PRN Melaka pada November 2021.

Beliau didakwa melobi jawatan itu sejurus selepas keputusan pilihan raya diumumkan.

Fauzi berkata, perihal ketua menteri itu, secara besar-besaran, akan menjejaskan reputasi BN kerana ia akan mengukuhkan semula naratif bahawa gabungan itu kemaruk kuasa.

Beliau berkata, rakyat kini akan menganggap sebarang cakap-cakap mengenai kestabilan politik oleh Umno hanya demi menarik sokongan.

“Umno memberikan gambaran bahawa politik hanya stabil apabila ia berkuasa,” tambahnya.

Penganalisis politik Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, perkara ini contoh situasi biasa dalam Umno, dengan “panglima perang” mengambil kesempatan daripada perebutan kuasa dalam kalangan orang atasan untuk menambah baik nasib politik mereka sendiri.

Merujuk kepada perpecahan dalam Umno selepas parti memutuskan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertingginya, Oh berkata, mereka di Melaka mengeksploitasi keadaan ini supaya mereka boleh meletak sasaran lebih tinggi.

Bagaimanapun, pemimpin-pemimpin ini perlu membina tapak kuasa pada peringkat tempatan terlebih dahulu, katanya.

“Jika tidak, (mereka) tidak akan mempunyai tapak dan akan mudah dikalahkan atau disingkirkan.”

Seorang lagi penganalisis, Wong Chin Huat daripada Universiti Sunway berkata, perbalahan dalam Umno Melaka akan mengecewakan “pengundi atas pagar”, menyebabkan mereka tidak keluar mengundi pada PRN akan datang.

Katanya, ramai pengundi Melayu beralih kepada Perikatan Nasional pada PRU lepas kerana mereka bosan dengan sikap Umno yang berlebih-lebihan. Ini merujuk kepada tuduhan keangkuhan dan rasuah, serta ketidakpercayaan terhadap Pakatan Harapan (PH).

“Kekecohan mengenai jawatan ketua menteri ini akan mengingatkan mereka bahawa Umno tidak berubah dan PH, disebabkan kerjasamanya dengan BN, juga bukan satu alternatif,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.