
Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Amarjit Singh Gill, berkata pihaknya memulakan siasatan selepas dimaklumkan mengenai laporan polis itu.
“Jawatankuasa Disiplin PKBM akan menyiasat (dakwaan ini) dengan teliti,” katanya di Twitter.
“Pada masa sama, jurulatih itu digantung tugas serta-merta sementara menunggu siasatan bagi memastikan tiada campur tangan semasa siasatan.”
Beliau berkata, PKBM akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara dan agensi kerajaan lain dalam siasatan bebas mereka.
“PKBM tidak akan berkompromi dengan keselamatan serta kebajikan pelumbanya dan tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk gangguan seksual atau perbuatan lain yang termaktub dalam Kod Sukan Selamat.”
Awal bulan ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dilaporkan berkata, KBS akan memperkenalkan kod itu bagi menangani gangguan seksual, buli dan keganasan.
Kod itu yang termasuk garis panduan mengenai persekitaran sukan selamat, akan digunakan untuk menangani aduan mengenai gangguan seksual dalam industri sukan sebelum digantikan Akta Sukan Selamat kelak.