Remaja didenda RM300 buat laporan polis palsu

Remaja didenda RM300 buat laporan polis palsu

Pelajar kolej itu mengaku memberi maklumat palsu dengan mendakwa kad pengenalannya hilang kerana dirompak.

Pelajar kolej itu mengaku bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
(Gambar Bloomberg)
KUALA LUMPUR:
Seorang remaja didenda RM300 oleh Mahkamah Juvana kerana memberi maklumat palsu kepada penjawat awam dua bulan lalu.

Sekiranya gagal membayar denda itu, pelajar kolej berusia 17 tahun itu berdepan hukuman penjara tujuh hari.

Denda itu dijatuhkan selepas remaja itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nur Farahain Roslan.

Remaja itu didakwa memberi maklumat palsu kepada penjawat awam, Noradilah Azmee, di Balai Polis Wangsa Maju pada 3.03 petang 3 Jan lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, selepas mendakwa kad pengenalannya hilang akibat dirompak.

Siasatan polis bagaimanapun mendapati tiada rompakan sedemikian berlaku.

Peguam Mohd Hafifi yang mewakili tertuduh merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan ini kesalahan pertama dan pelajar itu dijaga bapa tunggal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.