‘Tak semua rakyat faham Inggeris’, Ahli Parlimen PAS mahu RUU dalam bahasa Melayu

‘Tak semua rakyat faham Inggeris’, Ahli Parlimen PAS mahu RUU dalam bahasa Melayu

Ahli Parlimen Besut Che Zulkifly Jusoh berkata sepatutnya RUU diperkenalkan kerajaan dibuat keseluruhannya dalam bahasa Melayu.

Che Zulkifly Jusoh berkata ada hikmah beliau ‘dihalau’ dari Dewan Rakyat.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Besut daripada Perikatan Nasional (PN), Che Zulkifly Jusoh berkata rang undang-undang (RUU) yang diperkenalkan kerajaan sepatutnya menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya, bukan sebahagian dalam bahasa Inggeris.

Katanya, bukan semua rakyat memahami bahasa Inggeris dan ini boleh menyebabkan kekeliruan serta tidak faham hak dari sudut undang-undang.

“(Saya) bantah (RUU) dibuat dalam bahasa Inggeris kerana undang-undang digunakan untuk semua rakyat. Kalau rakyat baca dalam bahasa Inggeris dan tidak faham, mereka tidak tahu hak mereka di sudut undang-undang.

“Bukan semua rakyat faham bahasa Inggeris,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Terdahulu, Zulkifly diarah keluar dari Dewan Rakyat dan digantung tiga hari bermula hari ini.

Ia selepas Ahli Parlimen PAS itu ingkar arahan Timbalan Speaker Ramli Nor, yang tiga kali mengarahkannya duduk.

Sebelum itu, Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mempersoalkan mengapa kerajaan menyediakan dua RUU mempunyai tajuk bahasa Inggeris, yang mana Zulkifly turut mencelah.

Sementara itu, Zulkifly berkata ada hikmah beliau “dihalau” dari Dewan Rakyat.

Katanya, sekurang-kurangnya beliau boleh memberitahu pembuat undang-undang supaya RUU dibuat dalam bahasa Melayu.

“Tidak tahu apa agendanya. Kenapa tidak boleh ditarik balik dan dibentang semula…dibahaskan.

“Saya rasa tak ada masalah besar dalam (perkara) ini. Ini mungkin masalah teknikal asalnya tetapi itulah nak jelaskan tujuan saya bantah kejap tadi kerana (yang) dalam versi bahasa Melayu tak sepenuhnya dalam bahasa Melayu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.