RUU kawalan tembakau dibentang semula Mei ini, kata menteri

RUU kawalan tembakau dibentang semula Mei ini, kata menteri

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata RUU itu tidak sempat dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat semasa.

Dr Zaliha Mustafa berkata, RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dijangka dibentang semula di Dewan Rakyat Mei ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan akan membentangkan semula Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 pada sidang Dewan Rakyat Mei ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata RUU itu tidak sempat dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat yang sedang diadakan ketika ini.

“Kita dalam usaha mempercepatkan pembentangan (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok. Ia akan dibuat secepat mungkin dan kalau dapat, sesi akan datang kita akan cuba.”

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Agenda Nasional Malaysia Sihat di bangunan Parlimen.

Mengulas produk vape dikenakan cukai, Zaliha berkata, kerajaan dalam proses melaksanakannya.

“Kerajaan ada usaha untuk (melaksanakan) ‘vape tax’ (cukai vape) itu, tapi kita sedang dalam usaha untuk mempercepatkan pembentangan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok.”

Terdahulu, sebuah badan pemikir kesihatan menggesa kerajaan menumpukan usaha merombak semula RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok atau Generasi Penamat (GEG), bukannya mengecualikan nikotin cecair atau gel daripada Akta Racun 1952.

Pembentangan RUU itu tertangguh akibat pembubaran Parlimen pada 10 Okt lalu.

Julai tahun lalu, Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi mengesyorkan penguatkuasaan larangan merokok kepada individu yang lahir pada 2007 dan ke atas atau GEG ditangguhkan selama tiga tahun.

Larangan itu termaktub dalam RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat pada 27 Julai lalu.

Penangguhan pelaksanaan GEG selama tiga tahun bertujuan memberikan tempoh persediaan mencukupi kepada semua pihak berkaitan.

Dalam perkembangan lain, Zaliha berkata, KKM masih berunding dengan Pfizer-BioNTech berhubung bekalan vaksin Covid-19, Bivalen.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat pengumuman bila vaksin itu boleh diberikan kepada rakyat selepas bekalannya diterima.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.