Guna kad ATM pesara, polis buru suami isteri

Guna kad ATM pesara, polis buru suami isteri

Kad ATM asal mangsa berusia 62 tahun itu sebelum ini tersangkut di mesin pengeluaran wang, kemudian dikembalikan oleh seseorang yang cuba membantunya.

Tular di Twitter rakaman CCTV memaparkan seorang lelaki bersama seorang wanita sedang membuat pembelian telefon pintar menggunakan kad ATM yang didakwa milik individu lain.
PETALING JAYA:
Polis sedang mengesan dua individu disyaki pasangan suami isteri yang didakwa menggunakan kad ATM milik seorang pesara kerajaan baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Langat Ahmad Ridhwan Mohd Nor @Saleh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu Isnin lepas daripada mangsa yang berusia 62 tahun.

Menurut mangsa, kad ATM miliknya telah ditukar dan digunakan oleh individu yang tidak dikenali.

Ahmad Ridhwan berkata, mangsa hanya sedar kad yang dipegangnya bukan miliknya apabila beliau cuba mengeluarkan wang pada Isnin, namun gagal, dan pihak bank memaklumkan perkara itu kepadanya.

Sebelum itu, pada 25 Mac sekitar 10 pagi, ketika cuba mengeluarkan wang, kad ATM mangsa yang asal tersangkut di mesin pengeluaran wang di sebuah bank di Banting, Kuala Langat.

Seorang lelaki tidak dikenalinya, yang menurutnya kebetulan berada di situ, cuba membantu dan berjaya mengeluarkan kad ATM tersebut. Suspek kemudian mengembalikan kad ATM tersebut kepada mangsa, tanpa mangsa mengesyaki apa-apa.

“Semakan akaun pengadu mendapati terdapat 23 kali transaksi penggunaan kad tersebut dan wang sebanyak RM46,000 telah digunakan,” kata Ahmad Ridhwan, lapor Bernama.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati rakaman CCTV di sebuah kedai menjual telefon bimbit di Kapar, Klang memaparkan dua individu berusia sekitar awal 30-an membeli iPhone 13 menggunakan kad ATM milik pengadu.

Siasatan dibuka mengikut Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 dan usaha untuk mengesan suspek juga sedang dibuat, katanya.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 44 saat di Twitter memaparkan seorang lelaki bersama seorang wanita di sebuah kedai telefon sedang membuat pembelian menggunakan kad ATM yang didakwa milik individu lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.