Dewan Rakyat lulus RUU kesalahan seksual kanak-kanak

Dewan Rakyat lulus RUU kesalahan seksual kanak-kanak

RUU itu antara lain menggantikan terminologi 'pornografi kanak-kanak' kepada 'bahan penganiayaan kanak-kanak' dalam Akta Kanak-kanak 2017.

Azalina Othman Said berkata pindaan itu penting bagi memastikan undang-undang kekal selaras dengan perkembangan teknologi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak (Pindaan) 2023 bertujuan memberikan perlindungan lebih jitu kepada kanak-kanak, diluluskan di Dewan Rakyat.

Ia diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibentang untuk bacaan kali kedua oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dan dibahaskan 10 Ahli Parlimen.

Menurut Azalina, RUU itu antara lain untuk menggantikan terminologi “pornografi kanak-kanak” kepada “bahan penganiayaan kanak-kanak” dalam Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792).

“Sungguhpun kelihatan seperti penggantian istilah sahaja, ia memberi kesan besar kepada perspektif dan gambaran tahap keseriusan serta perihal sebenar sifat jenayah eksploitasi dan penganiayaan seksual ke atas kanak-kanak,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu.

Selain itu, Azalina berkata, perkataan pornografi lagi tidak hanya merujuk kepada seksual tetapi juga penggunaan perkataan yang wujud dalam teknologi.

“Sekarang perkataan ‘porn’ tu tidak semestinya perkataan yang kotor. Kalau kita kekalkan perkataan ‘pornografi’ itu, kadang-kadang orang boleh wujudkan sebagai contoh dalam pemikiran kanak-kanak ayat yang wujud dalam teknologi.

“Contohnya ‘food porn’ itu makanan ataupun ‘poverty porn’, jadi tak semestinya pornografi itu hanya kepada seksual. Bila berhadapan kanak-kanak, ketidakfahaman mereka itu yang menyebabkan kadang-kadang mereka boleh terkeliru untuk memahami bahawa perkara ini boleh dilakukan,” katanya.

Terdahulu, ketika membentangkan RUU itu Azalina berkata, seksyen baharu 15A yang memperuntukan kesalahan mengenai persembahan seks, bertujuan untuk menangani isu seks penstriman langsung semakin berleluasa.

Melalui penggubalan Seksyen 15A yang baharu, beliau berkata, bukan sahaja orang menonton dan mengambil bahagian dalam persembahan seksual kanak-kanak boleh didakwa, bahkan semua pihak seperti penganjur, orang tengah, atau mana-mana sindiket terlibat dalam melakukan kesalahan persembahan seksual kanak-kanak.

Beliau berkata, hukuman dicadangkan adalah pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga didenda tidak melebihi RM50,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.