Hormati perjanjian dimeterai, kerajaan tak buka semula kontrak DNB, kata Fahmi

Hormati perjanjian dimeterai, kerajaan tak buka semula kontrak DNB, kata Fahmi

Sehingga Dis 2022, jumlah kontrak ditandatangani DNB melibatkan 215 kontrak bernilai RM7.8 billion.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, berkata kerajaan menegaskan pada masa depan semua kontrak melibatkan Digital Nasional Berhad (DNB) akan ditender secara terbuka.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan tidak akan membuka semula kontrak Digital Nasional Berhad (DNB) yang sudah dimeterai sebagai menghormati prinsip ‘sanctity of contract’, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Katanya, bagaimanapun kontrak untuk masa depan akan dilaksanakan secara tender terbuka sebagai mana ditegaskan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Kerajaan semestinya menghormati prinsip, dengan izin ‘sanctity of contract’. Pada ketika ini ia (kerajaan) belum lagi membuat apa-apa keputusan sama ada berkaitan kontrak-kontrak telah dilaksanakan atau telah ditandatangani sebelum ini.

“Walaupun apapun perdana menteri telah memberi penegasan bahawa ke depan, semua kontrak, semua kontrak-kontrak ini akan dilaksanakan secara tender terbuka, tidak ada lagi ‘direct nego’,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) berhubung kesediaan kerajaan menguatkuasakan perolehan secara tender termasuk projek pelancaran 5G diterajui DNB.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, DNB telah mengambil langkah melaksanakan amalan tadbir urus perolehan terbaik dan menjamin ketelusan dalam penilaian.

“Selain itu, sidang Parlimen telah dimaklumkan keperluan tender yang dilaksanakan DNB adalah berdasarkan kriteria yang dikenalpasti dan diperhalusi melalui proses yang mantap berdasarkan maklum balas industri mengenai keperluan rangkaian 5G,” katanya.

Jelasnya, sehingga Dis 2022, bilangan kontrak ditandatangani DNB sebanyak 215 dengan nilai keseluruhan RM7.8 billion.

Daripada jumlah itu, perolehan sebanyak 138 iaitu 97% daripada keseluruhan nilai kontrak adalah secara bidaan kompetitif atau tender terhad mengikut norma dan piawaian industri telekomunikasi.

Manakala, 77 kontrak yang bernilai 3% daripada keseluruhan nilai kontrak telah dianugerahkan secara rundingan terus yang dibuat pada 2021, ketika DNB baru ditubuhkan dengan matlamat melaksanakan rangkaian 5G dalam jangka masa yang singkat.

“DNB pada ketika itu memerlukan set kemahiran yang tidak tersedia ada di DNB dan hanya boleh diperolehi daripada syarikat global yang berkepakaran sesuai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.