Banjir kilat landa Taiping, 60 dipindah ke PPS

Banjir kilat landa Taiping, 60 dipindah ke PPS

Mangsa terdiri daripada 14 keluarga ditempatkan di PPS selepas rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat berterusan melebihi dua jam.

Penduduk di Taiping terpaksa dipindahkan ke PPS selepas dilanda banjir kilat akibat hujan berterusan lebih dua jam semalam. (Gambar JBPM Perak)
IPOH:
Seramai 60 orang daripada 14 keluarga terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air akibat banjir di Taiping malam tadi.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam kenyataan memaklumkan, PPS dibuka di Dewan Orang Ramai Sungai Relong bagi menempatkan mangsa dari Kampung Sungai Relong dan Kampung Baru Batu 5 pada 9.12 malam.

“Banjir berpunca daripada hujan lebat berterusan melebihi dua jam dan melibatkan kawasan perumahan yang rendah,” katanya.

Sementara itu, seramai lapan individu terkandas di kawasan Gunung Liang, Tanjung Malim ketika melakukan aktiviti mendaki.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak berkata pihaknya mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan mengenai mangsa yang terperangkap pada 5.35 petang.

“Semua mangsa tidak dapat turun ke kaki bukit atas faktor cuaca dan laluan merintangi sungai telah dinaiki air disebabkan hujan lebat berterusan pada sebelah petang,” menurutnya dalam kenyataan.

Katanya, mangsa kemudian berjaya turun dengan bantuan anggota bomba dan Pasukan Bomba Sukarela Slim Village pada 9.35 malam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.