Dakwa tak dibayar gaji, guru tuisyen curi 5 projektor

Dakwa tak dibayar gaji, guru tuisyen curi 5 projektor

Lelaki itu mendakwa tindakannya mencuri projektor kerana tidak menerima gaji hampir RM3,000.

Suspek berusia 35 tahun ditahan di perkarangan IPD Ampang Jaya semalam kerana mencuri lima mesin projektor berjumlah RM13,000. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang guru sambilan ditahan kerana mencuri mesin projektor di sebuah pusat tuisyen di Jalan Merdeka Ampang, Kampung Baru Ampang, atas alasan tidak dibayar gaji.

Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di pekarangan IPD Ampang Jaya semalam kerana mencuri lima mesin projektor berjumlah RM13,000.

Harian Metro melaporkan pekerja pusat tuisyen itu memaklumkan pengetua berhubung kehilangan projektor berkenaan pada 10 pagi Rabu lalu dan mengesyaki ia tindakan suspek.

Tindakan suspek yang baru sebulan mengajar di pusat tuisyen itu turut disedari beberapa pelajar yang berada dalam kelas ketika kejadian.

Lelaki itu mendakwa tindakannya mencuri projektor itu kerana tidak menerima gaji hampir RM3,000.

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak, berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya menahan suspek dan turut merampas projektor dicurinya.

Katanya, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.