Bantuan haji meningkat, jejas agihan dividen pendeposit, kata menteri

Bantuan haji meningkat, jejas agihan dividen pendeposit, kata menteri

Menteri hal ehwal agama berkata jumlah bantuan kewangan haji meningkat setiap tahun jika bayaran haji tidak disemak.

Menteri Hal Ehwal Agama Mohd Nai’im Mokhtar berkata kenaikan kos memberi kesan kepada TH memberikan agihan keuntungan berpatutan kepada pendepositnya.
KUALA LUMPUR:
Jumlah bantuan kewangan haji dijangka meningkat kepada hampir RM500 juta pada 2024 sekiranya kos menunaikan rukun Islam kelima itu tidak disemak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Nai’im Mokhtar.

“Lembaga Tabung Haji (TH) menjangka jumlah bantuan kewangan haji akan meningkat daripada RM185 juta pada 2022 kepada RM400 juta pada tahun ini.

“Dan jumlah itu dijangka terus meningkat kepada hampir RM500 juta pada 2024 dan ini akan memberi kesan kepada TH memberikan agihan keuntungan berpatutan kepada pendepositnya,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) yang meminta perdana menteri menyatakan asas pertimbangan kerajaan meletakkan kos perbelanjaan jemaah haji berdasarkan kategori pendapatan B40, M40 dan T20.

Dalam pada itu, Nai’im berkata, TH akan mengambil kira cadangan mewujudkan tabung wakaf haji dengan melakukan kajian mengenainya terlebih dulu bagi memberi bantuan kewangan kepada bakal jemaah.

Pada 18 Mac lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan menanggung kenaikan kos menunaikan ibadah haji sebanyak RM1,000 bagi setiap jemaah golongan B40 tahun ini.

Katanya, perkara itu merupakan perubahan dilakukan kerajaan perpaduan berkaitan pemberian subsidi kepada umat Islam untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Bagi golongan M40 pula, Anwar yang juga menteri kewangan berkata, kenaikan kos haji sebanyak RM3,000 manakala golongan T20 perlu membayar kos haji sepenuhnya.

Media sebelum ini melaporkan, Na’im memaklumkan Tabung Haji menjangkakan kos bagi menunaikan haji tahun ini akan meningkat lebih RM2,000 kepada RM30,850 bagi seorang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.