Saya mungkin adakan bicara di hospital atau rumah Siti Nuramira, hakim beri amaran

Saya mungkin adakan bicara di hospital atau rumah Siti Nuramira, hakim beri amaran

Siti Nuramira Abdullah sekali lagi tidak hadir untuk perbicaraan selepas peguamnya memaklumkan tertuduh dimasukkan ke hospital.

Siti Nuramira Abdullah yang berdepan pertuduhan jenayah kerana mencetuskan suasana tidak harmoni dalam masyarakat Islam dikatakan terkena jangkitan usus.
KUALA LUMPUR:
Hakim Mahkamah Sesyen memberi amaran mungkin mengadakan perbicaraan jenayah melibatkan Siti Nuramira Abdullah di hospital atau di rumah tertuduh jika dia berterusan tidak hadir bagi pendengaran.

Hakim Nor Hasniah Ab Razak mengeluarkan kenyataan itu selepas peguam, R Sivaraj, memberitahu mahkamah Nuramira dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Nuramira berdepan tuduhan mencetuskan suasanan tidak harmoni dalam masyarakat Islam ketika membuat persembahan di Crackhouse Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail, tahun lalu.

Sivaraj mengemukakan resit dikeluarkan yang didakwa sebagai bukti Nuramira dimasukkan ke pusat perubatan itu.

Bagaimanapun, Hasniah menyangkal kenyataan peguam itu, sambil menyatakan tiada bukti pada resit menunjukkan tertuduh dimasukkan ke hospital.

“Jika dia cuti sakit lagi pada 17 April, saya mahu laporan perubatannya (dikemuka kepada mahkamah). Ini kali kedua (Nuramira tidak hadir),” kata hakim itu.

Semalam, peguam Nuramira memaklumkan mahkamah tertuduh dimasukkan ke hospital akibat jangkitan usus.

Pendengaran dijadual bersambung pada 17 April, 25 dan 31 Mei.

Nuramira didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan berkait kesalahan menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat, atau memudaratkan melibatkan agama, antara individu atau kumpulan yang menganut agama sama atau berlainan.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman sehingga lima tahun penjara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.