Tiada bahan lucah dalam gajet Ebit Lew, saksi beritahu mahkamah

Tiada bahan lucah dalam gajet Ebit Lew, saksi beritahu mahkamah

Noor Asyikin Shamsuri berkata beliau ke rumah pendakwah itu pada 19 Ogos 2021 untuk periksa komputer serta telefon bimbit.

ebit lew
Ebit Lew berdepan 11 pertuduhan termasuk mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021. (Gambar Bernama)
TENOM:
Seorang pegawai polis dalam perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Erawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew memberitahu Mahkamah Majistret bahawa beliau ke rumah tertuduh bagi menjalankan analisis awal terhadap beberapa peralatan digital.

Saksi pendakwaan ke-18, pegawai penyiasat polis, Noor Asyikin Shamsuri, 46, berkata beliau bersama jurugambar dan pasukan forensik pergi ke rumah tertuduh pada 19 Ogos 2021 untuk menjalankan pemeriksaan terhadap komputer serta telefon bimbit lain bagi mengesan sebarang unsur lucah.

“Selepas pemeriksaan dijalankan, kami tidak menemui sebarang bahan berunsur lucah dan tiada telefon lain ditemukan di rumah tertuduh,” katanya.

Menurut Noor Asyikin, jurugambar turut merakam 34 keping gambar dalam rumah Ebit Lew serta sekeping gambar bil elektrik rumah.

Selain itu, beliau memaklumkan telah mengarahkan Mohd Ashraf Chai Abdullah menyediakan surat permohonan kepada syarikat Whatsapp LLC (USA) pada 16 Ogos 2021 bagi tujuan semakan akaun WhatsApp milik tertuduh.

“Permohonan itu dibuat bagi mendapatkan butiran pengguna akaun WhatsApp dan log panggilan,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad berhubung surat permohonan itu.

Selain Nor Azizah, pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Analia Kamaruddin dan Muhammad Hidayat Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Prabjit Singh Gill.

Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan termasuk mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani akan bersambung pada 3 dan 4 Nov ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.