
Mereka berkata, langkah ini boleh mengukuhkan kebebasan badan kehakiman di pandangan orang ramai.
“Imbuhan seseorang hakim tidak seharusnya ditentukan oleh eksekutif tetapi tribunal bebas,” kata bekas hakim yang enggan namanya disiarkan.
Beliau mengulas resolusi diluluskan Majlis Peguam Malaysia pada mesyuarat agung tahunannya (AGM) yang menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya imbuhan bebas untuk menjalankan semakan berkala ke atas gaji dan faedah bagi anggota badan kehakiman.
Sementara menunggu penubuhan suruhanjaya itu, peguam yang hadir ketika AGM menggesa Putrajaya segera menjalankan semakan semula imbuhan sedia ada terhadap hakim.
Resolusi itu dicadangkan oleh Presiden Majlis Peguam Karen Cheah, mendapat sokongan padu daripada ahli menghadiri AGM Badan Peguam ke-77, pada Sabtu.
Bekas hakim itu berkata, resolusi berkenaan sangat dialu-alukan oleh badan kehakiman kerana ia “nampak tidak elok” jika cadangan sedemikian tercetus daripada hakim sendiri.
“Justeru, resolusi majlis adalah tepat pada masanya,” tambahnya.
Peguam kanan Bastian Pius Vendargon memuji resolusi itu, sambil berkata ia akan memberi kelebihan yang ketara.
“Ia akan menghapuskan peranan eksekutif dalam mengawal imbuhan hakim, dan meningkatkan kebebasan badan kehakiman,” katanya.
Tambahnya, ia juga selaras dengan amalan beberapa bidang kuasa lain terutama dalam Komanwel.
Peguam Salim Bashir berkata, suruhanjaya seperti ini boleh meredakan kebimbangan mengenai hakim yang terdedah kepada tekanan daripada cabang eksekutif.
“Ketetapan itu dibangkitkan kerana peguam juga mempunyai kewajipan untuk memastikan hakim bebas daripada sebarang bentuk campur tangan,” kata Salim, bekas presiden Majlis Peguam.
Beliau berkata, gesaan untuk semakan gaji adalah tepat pada masanya memandangkan ia kali terakhir dilakukan pada Julai 2015.
Salim berkata, penetapan tahap gaji yang sewajarnya akan menarik minat dan mengekalkan pemikiran undang-undang terbaik di negara ini.
“Ini perlu dilakukan melalui proses yang objektif dan bebas,” tambahnya.