Enakmen benar tukar agama sebelah pihak sah di sisi Perlembagaan, mahkamah diberitahu

Enakmen benar tukar agama sebelah pihak sah di sisi Perlembagaan, mahkamah diberitahu

Hakim beritahu penasihat undang-undang Perlis bahawa memohon mahkamah terbalikkan keputusan Mahkamah Persekutuan adalah 'keterlaluan'.

Ibu tunggal, Loh Siew Hong, memohon Mahkamah Tinggi membatalkan enakmen Perlis membenarkan pertukaran agama sebelah pihak kerana bertentangan dengan Perlembagaan.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan Perlis memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pertukaran agama sebelah pihak kepada Islam tidak melanggar enakmen negeri.

Penasihat Undang-undang Negeri Radhi Abas berkata Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2017 meluluskan pindaan Seksyen 117 Enakmen Pentadbiran Agama Islam, yang menyatakan bahawa kebenaran sama ada bapa, ibu atau penjaga sudah cukup untuk membolehkan seseorang kanak-kanak itu memeluk Islam.

Merujuk kepada kes Loh Siew Hong, seorang ibu tunggal yang memohon mahkamah membatalkan pertukaran agama tiga anaknya, Radhi berkata pendaftar mualaf Perlis menjalankan kuasanya mengikut undang-undang bagi mendaftarkan kanak-kanak terbabit sebagai seorang Islam, selepas bapa mereka, M Nagashwaran, memberi kebenaran.

“Kebenaran (ibu) tidak diperlukan,” katanya.

Loh memohon mahkamah membatalkan pertukaran agama semua anaknya. Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan peruntukan undang-undang yang membolehkan pertukaran agama secara sebelah pihak adalah bertentangan dengan Perlembagaan.

Radhli berhujah tiga kanak-kanak terbabit mengucapkan kalimah syahadah di hadapan pendaftar.

Katanya lagi, peguam Loh bergantung kepada keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 yang membatalkan pertukaran agama tiga anak Indira itu.

Bagaimanapun, Radhi mendakwa mahkamah tertinggi ‘terlepas pandang’ Perlembagaan versi Bahasa Melayu.

“Menurut Perkara 160B, Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan teks bahasa kebangsaan sebagai (teks) autoriti dan jika berlaku sebarang konflik antara versi Melayu dan bahasa Inggeris, versi Melayu patut diutamakan,” katanya.

Katanya, panel Mahkamah Persekutuan lain dalam satu kes penukaran agama pada 2009 yang melibatkan anak R Subashini, menetapkan sama ada ibu atau bapa boleh menentukan agama anak.

“Adakah anda mahu mahkamah ini meninggalkan keputusan Indira Gandhi?” soal Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh kepada Radhi.

“Ia agak keterlaluan memohon mahkamah ini terbalikkan keputusan kes Indira Gandhi,” tambah hakim itu.

Radhi menjawab negeri berpendirian bahawa keputusan kes Subashini masih merupakan “undang-undang baik”.

Sementara itu, Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, memberitahu hakim bahawa beliau berhak memilih antara keputusan Indira Gandhi atau Subashini.

Katanya, ketika anak-anak itu lahir, Loh memilih mendaftar mereka sebagai Hindu, agama yang pernah dipeluk Nagashwaran.

Loh dan Nagashwaran berkahwin mengikut undang-undang sivil. Perceraian mereka dimuktamadkan pada 2021.

“Tindakannya (Loh) ketika itu menunjukkan dia memberi kebenaran anak-anaknya mengikuti agama bapa mereka, sama ada Hindu atau Islam,” kata Haniff.

Keputusan kes Indira ikat mahkamah rendah

Bagaimanapun, A Srimurugan yang mewakili Loh memberitahu mahkamah bahawa ia harus mengikuti keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira kerana ia duluan yang mengikat.

Katanya, panel Mahkamah Persekutuan lain pada April tahun lalu mengesahkan keputusan itu, apabila ia menolak permohonan pihak berkuasa agama untuk menukar kembali dua anak Indira kepada orang Islam.

Beliau juga mempertikaikan dakwaan pihak berkuasa agama bahawa Perlembagan versi Bahasa Melayu berautoriti, kerana perkara itu tidak pernah diwartakan.

Farid akan menyampaikan keputusan pada 11 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.