
Beliau berkata, keputusan itu dibuat berasaskan kebajikan, kesejahteraan dan tahap kesiapsiagaan kanak-kanak.
Menurutnya, tumpuan utama pelaksanaan itu ialah memastikan hak dan kepentingan kanak-kanak dilindungi dengan penilaian menyeluruh merangkumi aspek emosi, kognitif serta kemahiran pembelajaran.
“Ini bukan soal berlumba-lumba dan tujuan kita untuk menekankan asas mengikut tahap perkembangan murid dan bukan mempercepat pembelajaran akademik.
“Anak kita bukan untuk ujian atau tikus makmal, sebab itu kita tekankan dalam konteks ini, kita hendak bagi tumpuan kerana ia merupakan dasar yang telah kita bincang dan bahaskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya menurut Bernama pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) berhubung kebimbangan awam, termasuk polemik di media sosial mengenai rasional pelaksanaan dasar itu, tahap sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta kemungkinan tekanan sosial terhadap ibu bapa.
Fadhlina berkata, kebimbangan masyarakat munasabah dan Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tanggungjawab penuh untuk memberi penerangan serta memastikan pelaksanaan dasar itu dilakukan dalam keadaan terbaik.
Mengulas dakwaan dasar itu sepatutnya dilaksanakan secara rintis, tegasnya, pendekatan itu bukan projek percubaan, sebaliknya dasar nasional yang dilaksanakan secara berfasa, terkawal dan sukarela dengan mekanisme saringan diagnostik ketat.
Jelasnya, hanya kanak-kanak yang benar-benar bersedia akan ditawarkan kemasukan awal, selain disertai sokongan emosi dan psikososial bagi membantu mereka menyesuaikan diri dalam persekitaran pembelajaran formal.
Menjawab soalan asal Roslan mengenai rasional dasar itu, katanya, tawaran kemasukan awal murid Tahun 1 sebahagian daripada perancangan RMK13, selaras amalan antarabangsa yang memulakan pendidikan rendah pada usia enam tahun.
“Namun, penegasan penting di sini ialah kemasukan pada usia tujuh tahun kekal sebagai laluan persekolahan dan tiada sebarang paksaan kepada ibu bapa atau murid.”
Menurutnya, struktur pendidikan negara juga tidak berubah kerana semua murid tetap melalui enam tahun pendidikan rendah dan lima tahun pendidikan menengah, tanpa penambahan tempoh persekolahan atau kesan negatif kepada laluan pendidikan keseluruhan.
Menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) berhubung kesiapsiagaan sekolah, guru dan prasarana, khususnya di kawasan bandar, Fadhlina berkata, setiap dasar mesti disokong persiapan menyeluruh.
Beliau berkata, KPM telah melaksanakan pemetaan awal bagi mengenal pasti negeri dan sekolah yang dijangka menerima permintaan tinggi, selain mengambil langkah proaktif, termasuk pengambilan guru lantikan secara kontrak atau Contract of Service (CoS) dan perancangan pembinaan kelas tambahan.
“Bahagian pembangunan kita juga bersedia untuk melaksanakan semua projek terkait rapat dengan pembinaan kelas tambahan ini.”
Justeru, Fadhlina mengalu-alukan Ahli Parlimen menyalurkan sebarang persoalan rakyat di kawasan mereka bagi memastikan kebimbangan masyarakat dapat ditangani dan pelaksanaan dasar berlangsung dengan baik.