Kanak-kanak bawah 16 tahun belum matang untuk media sosial

Kanak-kanak bawah 16 tahun belum matang untuk media sosial

Ibu bapa bimbang risiko media sosial kepada kanak-kanak bawah 16 tahun kerana golongan terbabit belum mampu berfikir secara rasional.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan keselamatan kanak-kanak di ruang digital dengan melarang pembukaan akaun media sosial kepada individu berusia bawah 16 tahun.
KUALA LUMPUR:
Ibu bapa berpandangan kanak-kanak berusia bawah 16 tahun belum cukup matang untuk memiliki akaun media sosial kerana tidak mampu membuat pertimbangan rasional apabila terdedah kepada kandungan negatif, gangguan seksual dalam talian, buli siber dan risiko menjejaskan identiti diri.
Azweena Ahmad (Azuwila).
Azweena Ahmad.

Pesara guru, Azweena Ahmad, 46, berkata tahap kematangan kanak-kanak tidak boleh disamakan dengan orang dewasa, walaupun mereka menunjukkan kematangan mengikut peringkat usia masing-masing.

“Kematangan mereka hanya sesuai dengan umur mereka. Kita yang lebih dewasa mempunyai cara pemikiran dan pertimbangan yang berbeza,” katanya kepada FMT.

Katanya, kepantasan dan kepelbagaian platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok menimbulkan kebimbangan kerana mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai risiko
pada setiap masa.

“Kanak-kanak mudah menyerap apa yang mereka lihat. Apa yang kita ajar sering tidak dipedulikan kerana mereka lebih teruja meneroka kandungan media sosial. Zaman mereka berbeza dengan kita,” katanya yang kini bergelar usahawan.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, dilaporkan berkata kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan keselamatan kanak-kanak di ruang digital dengan melarang pembukaan akaun media sosial kepada individu berusia bawah 16 tahun.

Siti Salwa Zakaria.
Siti Salwa Zakaria.

Langkah itu akan dilaksanakan menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian yang dijadual berkuat kuasa tahun ini.

Sementara itu, pegawai kewangan, Siti Salwa Zakaria, 39, turut menyokong larangan tersebut dengan menyatakan kanak-kanak bawah umur mudah terpedaya dan berisiko terjebak tingkah laku tidak senonoh.

Katanya, media sosial biasanya bermula dengan tanda suka pada gambar, kemudian berborak dan bertanya khabar, dan lama-kelamaan ‘kawan’ media sosial mengajak keluar.

Adam Haris Rahman.
Adam Haris Rahman.

“Kadang-kadang sebagai ibu bapa kita tahu anak keluar dengan kawan, tetapi rupanya menyimpang. Perkara seperti ini kalau boleh kita mahu elakkan,” kata ibu empat anak itu. Pelajar, Adam Haris Rahman, 20, berpandangan media sosial boleh menjadi ancaman kepada pembentukan identiti peribadi kanak-kanak.

“Apabila memuat naik gambar peribadi, mereka tidak sedar ia boleh menjejaskan identiti diri. Maklumat atau imej yang dikongsi tanpa kawalan boleh mendatangkan risiko,” katanya.

Tamil Chelvi
Tamil Chelvi.

Bagaimanapun, suri rumah, Tamil Chelvi, 46, berpendapat kawalan terhadap penggunaan media sosial perlu dilaksanakan secara berhemah dan tidak terlalu drastik.

“Jika terus menyekat anak-anak daripada media sosial dan komunikasi dalam talian, kita bimbang mereka akan berasa bosan dan sunyi, lalu mencari kawan di luar tanpa pengawasan.

Nuraina Fauzieyana.
Nuraina Fauzieyana.

“Akhirnya, mereka tetap terdedah kepada bahaya. Sebab itu pemantauan ibu bapa amat penting,” katanya.

Pelajar, Nuraina Fauzieyana, 19, turut mengakui kandungan tanpa sempadan di pelbagai platform mudah mempengaruhi kanak-kanak.

“Saya bermain permainan dalam talian yang melibatkan remaja dan orang dewasa, dan kebanyakannya menggunakan bahasa kasar. Perkara itu akhirnya menjadi ikutan kanak-kanak dalam pertuturan seharian mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.