Polis panggil Hannah, Chegubard berkait ziarah gereja

Polis panggil Hannah, Chegubard berkait ziarah gereja

Menteri belia dan sukan dipanggil dalam masa terdekat untuk merakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung program 'Jom Ziarah Gereja' anjuran NGO kementerian itu.

Pada 14 Mac lalu Hannah Yeoh ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat menjelaskan program ‘Jom Ziarah Gereja’, yang sepatutnya berlangsung Sabtu lalu tidak membabitkan individu beragama Islam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh akan dipanggil dalam masa terdekat untuk merakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung program “Jom Ziarah Gereja” anjuran badan bukan kerajaan (NGO) bernaung bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai, berkata selain Hannah, polis juga akan merakam keterangan Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegubard hari ini bagi membantu siasatan.

“Kita sudah merakam keterangan tiga individu, terdiri pengadu dan dua wakil NGO bagi membantu siasatan,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya menerima dua laporan polis berkaitan isu iu.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim, mengesahkan pihaknya sudah membuka satu kertas siasatan berhubung penganjuran program berkenaan.

Katanya, walaupun program itu dibatalkan, pihaknya menerima satu laporan polis berkaitannya.

Pada 14 Mac lalu, Hannah ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023, bagi kementeriannya di Dewan Rakyat menjelaskan, program “Jom Ziarah Gereja”, yang sepatutnya berlangsung Sabtu lalu, tidak membabitkan individu beragama Islam.

Beliau dilaporkan berkata, program itu juga bukan bertujuan memberi gambaran semua agama dianuti rakyat adalah sama rata.

Program itu adalah satu inisiatif bawah “Projek Artikel 11” diterajui Impact Malaysia, iaitu NGO bernaung bawah KBS.

Inisiatif program itu dikatakan bertujuan membuka minda belia mengenai budaya dan kepercayaan pelbagai bangsa melalui lawatan serta aktiviti sukarelawan di Lembah Klang.

Program dijadualkan berlangsung di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes, Klang, bagaimanapun dibatalkan penganjur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.