Ahli Parlimen DAP kumpul RM2.25 juta bayar saman fitnah

Ahli Parlimen DAP kumpul RM2.25 juta bayar saman fitnah

Lim Lip Eng berkata derma yang dikutip akan diaudit juruaudit bertauliah bagi memastikan ketelusan.

PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berjaya mengumpul RM2.25 juta untuk membayar ganti rugi selepas kalah dalam saman fitnah kepada sebuah firma e-dagang.

“Kami dapat kumpul dana sebanyak RM2.25 juta. Jadi jangan menderma lagi. Saya tidak dapat berterima kasih kepada semua orang untuk kebaikan dan bantuan dihulurkan pada waktu sukar ini,” katanya di Facebook.

Ahli Parlimen DAP itu berkata, segala derma dikutip akan diaudit seorang juruaudit bertauliah bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti.

Pada 16 Mac lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Lim membayar ganti rugi RM2 juta kepada pengasas firma e-dagang MonSpace (M) Sdn Bhd, Jessy Lai selepas didapati beliau bertanggungjawab atas fitnah pada 2017.

Dalam tuntutan mahkamahnya, Lai menuduh Lim mencemarkan nama baik diri dan syarikatnya dengan menuduh mereka menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur China.

Hakim Akhtar Tahir berkata, Lim melangkaui tugasnya sebagai Ahli Parlimen apabila membuat tuduhan mengenai Lai dan syarikatnya.

Lim diperintahkan membayar ganti rugi am sebanyak RM500,000 kepada Lai dan RM1 juta kepada MonSpace.

Dia juga diperintahkan membayar RM500,000 lagi kepada mereka sebagai ganti rugi teruk.

Ganti rugi itu dipercayai paling tinggi dalam kes fitnah sejak 20 tahun lalu.

Keesokannya, Lim melancarkan kempen mengumpul dana untuk membayar ganti rugi RM2.25 juta kepada firma itu dan pengasasnya.

Lim berkata, beliau berisiko diisytiharkan muflis dan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika tidak dapat membayar tepat pada masanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.