
Katanya, sejak dulu lagi DAP bergerak dengan sumbangan orang ramai dan akan terus berbuat demikian.
“Sudah pasti DAP tiada RM200 juta (dalam simpanannya) tetapi kami tidak perlukan RM200 juta,” kata Loke dalam ucapannya di Konvensyen DAP Pulau Pinang dan sambutan ulang tahun ke-57 parti itu.
“Kami tidak perlukan wang daripada taikun dan syarikat besar kerana kita mempunyai wang yang cukup yang disumbangkan oleh rakyat biasa. Ini adalah kerja keras anggota parti termasuklah menganjurkan majlis makan malam untuk kutipan dana,” katanya.
Loke berkata parti juga sering menerima sumbangan daripada penyokongnya hingga ke satu tahap dana itu melebihi keperluan dan disimpan di dalam simpanan tetap di bank.
Ucapan Loke itu merujuk kepada pendedahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Kongres PKR semalam bahawa lebih RM200 juta disalurkan kepada satu parti politik selepas menganugerahkan projek kepada sebuah kontraktor ketika berkuasa.
Anwar yang juga presiden PKR berkata, beliau mendapati parti itu, yang tidak dinamakan Anwar, turut menerima beberapa balasan lain.
Loke juga menggesa DAP negeri itu menggunakan jentera parti yang kuat dan efektif bagi membantu rakan dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR dan Amanah untuk memenangi kerusi di pilihan raya negeri akan datang.
“Jentera yang kuat ini sudah membawa kemenangan di negeri ini sejak 15 tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi DAP Lim Guan Eng dalam ucapannya menyelar kumpulan pelampau yang menabur fitnah dan meniup api perkauman dengan niat untuk menumbangkan kerajaan perpaduan.
Walaupun tidak menamakan kumpulan itu, Lim dipercayai merujuk kepada Perikatan Nasional (PN), di mana pemimpinnya dikritik kerana mengeluarkan kenyataan mahu menumbangkan kerajaan, dan juga retorik mereka ketika PRU15.
“Dengan mengalahkan mereka dalam pilihan raya akan datang di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan juga di negeri lain (Kedah, Kelantan dan Terengganu), kita boleh menghalang mereka daripada menggunakan taktik kotor untuk menumbangkan kerajaan,” katanya.