Dakwaan Pemuda PAS mengenai Sukma 2024 adalah salah faham, kata exco Kelantan

Dakwaan Pemuda PAS mengenai Sukma 2024 adalah salah faham, kata exco Kelantan

Wan Roslan Wan Hamat berkata sepatutnya kenyataan ketua Pemuda PAS Kelantan itu diperbetulkan.

Wan Roslan Wan Hamat (kiri) berkata, kenyataan Mohamad Kamal Mohamed menggambarkan anak muda begitu teruja supaya Sukma diadakan di Kelantan.
PETALING JAYA:
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Kelantan Wan Roslan Wan Hamat berkata mungkin berlaku salah faham mengenai kenyataan seorang pemimpin Pemuda PAS bahawa negeri itu dinafikan hak untuk menganjurkan Sukan Malaysia (Sukma) 2024.

Wan Roslan berkata, kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed menggambarkan anak muda begitu teruja supaya Sukma diadakan di negeri itu.

“Beliau mungkin bimbang temasya ini tidak diadakan di Kelantan, kerana negeri lain telah menjadi tuan rumah dua kali.

“Jadi saya rasa tidak timbul masalah sekiranya berlaku kesilapan dalam kenyataan itu, sepatutnya kenyataan ketua Pemuda itu diperbetulkan,” katanya yang dipetik Bernama.

Kamal dalam satu kenyataan semalam menuduh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyalah guna kuasa untuk menafikan hak Kelantan untuk menjadi tuan rumah Sukma pada tahun hadapan.

Hannah berkata, tuduhan Kamal itu adalah satu fitnah kerana wakil Kelantan, Wan Roslan sendiri bersetuju negeri itu menganjurkan Sukma pada 2028 kerana perlukan masa untuk membuat persiapan.

Sarawak secara rasmi dipilih sebagai tuan rumah Sukma 2024, manakala Majlis Sukan Negara (MSN) akan menganjurkan temasya tersebut pada 2026.

Mengenai penganjuran Sukma itu, Wan Roslan berkata, Kelantan akur dengan keputusan mesyuarat jawatankuasa tertinggi Sukma dan tidak akan membuat bantahan.

Katanya, perincian mesyuarat berkenaan tidak boleh didedahkan tetapi persiapan Kelantan untuk menjadi tuan rumah Sukma 2028 akan diteruskan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.