
Sekretariat khas kerajaan yang mengendalikan isu itu berkata, mahkamah tersebut memutuskan bahawa cabaran waris Sulu terhadap perintah penangguhan itu “tidak boleh diterima”.
“Oleh itu, penangguhan yang diperoleh Malaysia pada 12 Julai 2022, untuk penguatkuasaan anugerah akhir itu kekal,” katanya dalam kenyataan.
Awal bulan ini, sekumpulan individu yang mendakwa diri mereka bailif mahkamah pergi ke kedutaan Malaysia di ibu negara Perancis meminta akses masuk ke premis itu.
Kakitangan diplomatik, bagaimanapun, menolak permintaan itu dan mereka pergi tidak lama selepas itu.
Reuters melaporkan bahawa bailif cuba menguatkuasakan perintah rampasan ke atas harta itu.
Pada Februari 2022, mahkamah timbang tara Perancis memerintahkan Putrajaya membayar USD14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada pihak yang mendakwa mereka waris sultan terakhir Sulu.
Penimbang tara Gonzalo Stampa memutuskan Malaysia telah melanggar perjanjian pada 1878 antara kerajaan Sulu lama di Filipina dan wakil Syarikat Borneo Utara British yang mentadbir kawasan kini menjadi Sabah.
Proses timbang tara bermula Sepanyol tetapi dipindahkan ke Paris.
Pada Julai 2022, Mahkamah Rayuan Paris membenarkan penangguhan tanpa syarat anugerah akhir itu untuk Malaysia sementara menunggu keputusan mahkamah rayuan mengenai permohonan untuk mengetepikan keputusan itu. Pihak yang menuntut kemudiannya memfailkan cabaran terhadap perintah penangguhan itu.
Sekretariat itu berkata, perintah penangguhan itu mengukuhkan pendirian Malaysia bahawa proses timbang tara dibuat tanpa asas yang sah dan menjejaskan kedaulatan wilayah negara.
“Malaysia akan terus mempertahankan diri dengan teguh dalam semua forum undang-undang terhadap semua bentuk tindakan undang-undang yang dimulakan oleh pihak lawannya.”